MELAKA: Keputusan semua enam bahagian UMNO Melaka menutup pintu rundingan dan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) jelas memperlihatkan parti mana yang benar-benar berusaha untuk penyatuan ummah.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, semua parti mahupun individu mempunyai hak untuk membuat segala keputusan.

Bagaimanapun, kata beliau, pada akhirnya rakyat bijak membuat penilaian yang tepat.

“Saya fikir rakyat boleh melihat pihak mana yang cintakan perpaduan dan pihak mana yang mahukan perpecahan (kerana) kita konsisten untuk bekerjasama dengan kerajaan dan parti yang membentuk kerajaan Pusat sebelum ini.

“Tetapi kita dapat lihat UMNO menolaknya dan itu jelas memperlihatkan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa pihak mana yang tidak mahu penyatuan dan pihak mana yang cuba menyatukan masyarakat terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menampaikan sumbangan Deepavali Melaka Prihatin di Taman Bachang Baru di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, tindakan semua bahagian UMNO menolak kerjasama itu juga merupakan hak peribadi memandangkan gabungan itu sudah lama bersiap sedia dalam menghadapi apa sahaja bentuk pilihan raya.

“Saya kira itu hak mereka… kita di peringkat PN sudah lama bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dari segenap segi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Fokus kita hanya terarah kepada PRN dan tidak tergugat atas keputusan pihak lain,”tambahnya.

BACA: PRN Melaka: Enam Bahagian UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu - Mohamad Ali

Semalam, enam Ketua Bahagian UMNO di Melaka membuat pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka 20 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Keputusan muktamad itu diambil selepas mengambil kira sentimen serta hasrat ahli-ahli UMNO akar umbi di negeri itu.