KUALA LUMPUR: Sentimen akar umbi berhubung kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan masih bercampur-campur, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian terperinci sedang dilakukan bagi menilai sentimen akar umbi sebelum sebarang keputusan berhubung kerjasama politik dibuat.
“Sentimen akar umbi bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci. Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup ataupun ikat sepat tinggal tulang," katanya selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, di sini hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira keadaan dan penerimaan di peringkat akar umbi bagi memastikan langkah yang diambil tidak membawa kesan sebaliknya.
Malam tadi, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PN dan BN semakin hampir mencapai persefahaman untuk bekerjasama menghadapi PRN Melaka.
Beliau dilapor berkata, berkata perbincangan awal antara kedua-dua pihak menerima maklum balas yang baik daripada BN, namun bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.
Pada Khamis lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula dilaporkan berkata, sebarang perbincangan mengenai kerjasama antara PH dan BN bagi menghadapi PRN itu akan dikendalikan oleh jawatankuasa pilihan raya kedua-dua gabungan berkenaan.
Menurut beliau, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menguruskan perbincangan tersebut.
Sementara itu, pada hari sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumpamakan BN sebagai 'anak dara cantik' yang menjadi rebutan beberapa gabungan parti untuk bekerjasama menghadapi PRN.
Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka itu berkata beberapa pihak dijangka tampil menyatakan hasrat untuk 'meminang' BN dalam tempoh terdekat bagi membolehkan gabungan itu 'berkahwin secara sah'.
"Memanglah, kita ini anak dara yang cantik, jadi ramai yang mahu meminang. Kena tunggulah.
"Jadi pastinya saya sebagai 'ketua dalam keluarga' ini akan memilih siapa yang memberikan hantaran mas kahwin yang terbaik untuk menjadi menantu saya," katanya.