PRN Melaka: SOP diperhalusi, elak kesesakan hari mengundi - SPR

Fareez Azman
Oktober 18, 2021 05:42 MYT
panduan pencegahan COVID-19 yang akan digunakan sepanjang PRN itu berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
BANDAR HILIR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperhalusi beberapa kaedah bagi mengurangkan kesesakan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, panduan pencegahan COVID-19 yang akan digunakan sepanjang PRN itu berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dari segi SOP di pusat mengundi memang ketat (dengan) syarat-syarat vaksin, pemakaian pelitup muka, penjarakan dan sebagainya memang ada dan di peringkat urusetia serta petugas kita tidak akan bertolak ansur.
“Kepada semua pengundi janganlah turun (serentak), kerana kita ada waktu 8 pagi hingga 5.30 petang, waktunya agak panjang yang mana kalau boleh warga emas awal pagi, yang muda biarlah lewat sedikit supaya tidak berlaku kesesakan.
“Kita akan buat cadangan masa untuk keluar mengundi melalui aplikasi seperti Mysejahtera,” katanya dalam sidang media ddi sini hari ini.
BACA: PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR
PRN Melaka Ke-15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari - SPR
Mengulas lanjut beliau berkata, SPR menganggarkan PRN kali ini akan menelan kos RM46 juta mengambil kira situasi negara yang masih berada dalam fasa pandemik COVID-19.
Katanya, kaedah serta SOP muktamad bagaimana pelaksanaan pilihan raya berkenaan masih di peringkat rundingan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dari segi SOP terutama di musim COVID-19 ini SPR telah berbincang dan kerajaan akan memutuskan dengan pandangan-pandangan dari MKN, KKM dan PDRM yang mana perkara ini masih di peringkat rundingan," tambahnya.
SPR terdahulu mengumumkan hari pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
[TERKINI] Sidang media SPR mengenai PRN Melaka
#politik melaka #PRN Melaka #SPR #Abdul Ghani Salleh