BUKIT KATIL: Biarpun timbul sedikit rasa gusar mengenai pemilihan dua bekas pemimin politik UMNO ke dalam Pakatan Harapan (PH), namun Pemuda PH akur dengan keputusan pucuk pimpinan.

Ketuanya Howard Lee berkata, pihak Pemuda PH tetap komited untuk memenangkan kesemua pilihan pakatan itu, terutamanya selepas mengambil kira 10 daripada keseluruhan 28 calon mereka adalah terdiri daripada orang muda.

Katanya lagi, Pemuda PH tidak mahu mengulas panjang mengenai keputusan itu, dan menyerahkan kepada Rakyat Melaka untuk menentukan sama ada ia tindakan tepat, atau sebaliknya.

“Ada perbualan dan naratif yang agak negatif (ekoran pemilihan dua bekas ADUN BN itu), tapi ia adalah lumrah pilihan raya. Bagi saya kita komited untuk sampaikan apa yang Pakatan Harapan tawarkan, dan bakal bawa sebagai agenda pentadbiran nanti iaitu ekonomi, kesihatan, dan pemulihan.

“Dan ia merangkumi peluang pekerjaan, peluang perniagaan serta pembangunan infra mahupun sumber manusia di Melaka, dan termaktub dalam dokumen manifesto yang akan diumumkan Adly Zahari nanti,” katanya lagi.

Howard, yang Ketua Dapsy Kebangsaan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai antara calon PH untuk Pilihan Raya Negeri Melaka.

Idris, yang sebelum ini merupakan ADUN Sungai Udang, telah dicalonkan di DUN Asahan, manakala Nor Azman akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor.

Mengulas lanjut, Howard berkata, biarpun suasana PRN agak berbeza, namun ia masih menyaksikan pertandingan antara tiga pakatan utama – Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Pakatan Harapan.

“Dari sudut perbezaan, PH dahulu tanpa track record. Kali ini bersandarkan track Adly Zahari (sebagai bekas Ketua Menteri), dan pasukannya dalam kerajaan cukup cemerlang. Ini perbezaan yang akan membantu kempen kami.

Kesimpulannya, PRN seperti ini tak pernah disaksikan, PRN antara tiga koalisi – BN sebagai koalisi ditolak rakyat, PN yang tidak pernah diuji dalam pilihan raya, dan PH yang mendakap semangat demokrasi,” katanya lagi.