KUALA TERENGGANU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Terengganu membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan penularan video di media sosial yang mendakwa terdapat unsur sogokan dalam ceramah politik pemimpin itu di Terengganu.

Laporan polis itu dibuat wakil MUDA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang pada Sabtu.

MUDA dalam kenyataan malam Sabtu berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan berhubung kenyataan Ahmad Zahid ketika berceramah pada Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul yang disyaki mengandungi unsur sogokan terhadap pengundi muda.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Zahid didakwa menyampaikan ceramah dengan menyebut untuk menggunakan peruntukan bagi menarik sokongan belia sehari sebelum penamaan calon iaitu pada malam Jumaat.

“Dalam ucapan beliau ada menyebut untuk memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada seluruh (persatuan) motosikal di Terengganu asalkan pada 12 Ogos nanti mereka (belia) mengikut gelombang biru dan merah yang ada di Terengganu.

“Kita mengecam tindakan menggunakan dana (kementerian) sebagai modal berkempen daripada mana-mana kerajaan sekalipun. Apatah lagi apabila disebut dengan jelas oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah," kata MUDA.

Sehubungan itu, katanya, siasatan perlu dilakukan bagi mengekang penularan rasuah sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Terengganu.

“Walaupun tempoh kempen belum bermula, pengumuman beliau (Ahmad Zahid) sehari sebelum penamaan calon adalah jelas mengandungi unsur rasuah pilihan raya.

“Justeru, kami menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak dengan proaktif sepanjang tempoh kempen bagi memastikan tiada unsur-unsur rasuah oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.

Perkembangan itu diumumkan ketika Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun pada Jumaat.

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu. - Sinar Harian