Skip to main content

Politik

PRN N. Sembilan: Danii Rais tekad tebus kekalahan, tampil kali kedua di DUN Klawang

Danii Rais, PN, Klawang
Menurut Danii, pengalaman bertanding di DUN Klawang sebelum ini membolehkan pasukannya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan bagi memperkemaskan strategi kempen kali ini. - Foto Facebook PN
Advertisement

SEREMBAN: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Danii Rais, bertekad memanfaatkan pengalaman bertanding buat kali kedua di kerusi itu dengan menawarkan pendekatan dan gerak kerja yang lebih mantap pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurut Danii, pengalaman bertanding di DUN Klawang sebelum ini membolehkan pasukannya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan bagi memperkemaskan strategi kempen kali ini.

“Saya rasa strategi itu kita dah ada. Ini pusingan kedua, jadi banyak yang kita dah kaji, banyak yang kita dah belajar dan juga untuk memantapkan lagi gerak kerja kita.

“Insya-Allah selepas ini kita akan lihat penambahbaikan dari segi objektif, profesionalisme dan juga apa yang harus kita tawarkan kepada rakyat serta para pengundi di Klawang. Kita mahu menawarkan pilihan yang terbaik demi masa depan mereka,” katanya selepas diumumkan sebagai calon PN bagi DUN Klawang pada Khamis.

Tambahnya, beliau tidak mahu menabur janji, sebaliknya mahu menawarkan kepimpinan yang lebih dinamik dengan memberi penekanan kepada pembangunan belia, sukan, aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat.

“Saya tak mahu membuat janji-janji. Tetapi saya mahu membawa satu gerakan yang lebih dinamik sebagai anak muda, dengan lebih tenaga. Insya-Allah, kita akan memberi fokus kepada masa depan anak muda dan juga seluruh rakyat Jelebu.

“Dari segi pembangunan, sukan, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Insya-Allah, dengan pasukan yang ada sekarang ini, kami sangat bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam tempoh dua minggu akan datang sehinggalah kemuncaknya pada hari pengundian nanti,” katanya lagi.

Pada PRN2023, Danii yang memasuki gelanggang pilihan raya buat kali pertama di DUN itu, tewas kepada Bakri Sawir daripada Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 4,021 undi dalam saingan tiga penjuru.

Manakala Bakri memperoleh kemenangan apabila merekodkan 4,598 undi dengan majoriti tipis sebanyak 577.
 

Must Watch Video

Advertisement