Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Abdul Fattah pertahan DUN Bagan Pinang, berdepan PH dan Bersatu

Abdul Fattah Zakaria, Bagan Pinang - Astro AWANI
DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan tiga penjuru dalam PRN16.
Advertisement

PORT DICKSON: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan saingan tiga penjuru dalam Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Daerah Port Dickson, Nurhazelin Makli, ia melibatkan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang, Abdul Fattah Zakaria, Nasir Raman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Sheikh Junaidy Jamaludin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Abdul Fattah sekali lagi diumum mempertahankan kerusi berkenaan selepas Barisan Nasional (BN) dan PN mencapai persefahaman dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN16.

Pada Rabu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan BN akan bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.

Keesokan harinya, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pula mengumumkan gabungan itu akan bertanding di baki 11 kerusi DUN, sekali gus memuktamadkan agihan kerusi antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN16.

DUN Bagan Pinang dipertandingkan buat kali pertama pada 2004 dan menjadi antara kubu kuat BN.

Pada PRN 2023, kerusi DUN itu dirampas oleh Perikatan Nasional (PN) apabila Abdul Fattah berjaya menewaskan calon BN, Mohd Najib Mohd Isa selepas memperoleh 10,921 undi dan menang dengan majoriti 3,426 undi.

Sementara itu, DUN Chuah menyaksikan persaingan dua penjuru melibatkan calon PH dan juga penyandang, Datuk Yew Boon Lye dan Pau Jeou Ching (BN),

Di Lukut pula menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan calon PH dan penyandang, Choo Ken Hwa menentang N.Sathes Kumar (PN) dan Teo Seng Lee (Bebas).

Manakala di Sri Tanjung, calon PH, Datuk Dr G. Rajasekaran yang juga penyandang kerusi DUN tersebut akan berdepan saingan lima penjuru membabitkan calon BN, A.Achutan, M.Leevineshwaraan (Bersatu) dan dua wakil Bebas membabitkan Islah Wahyudi Zainudin dan Datuk A.Saravanan.

Must Watch Video

Advertisement