SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan pembahagian 25 kerusi kepada Barisan Nasional (BN) dan 11 kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) sebagai bayangan kepada pembentukan satu jajaran politik baharu di negara ini.
Hamzah berkata, pengumuman BN yang hanya menamakan 25 calon pada malam Rabu, diikuti pengumuman 11 calon oleh PN, bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya mencerminkan persefahaman kedua-dua pihak.
“Semalam saya mendengar ucapan daripada rakan-rakan saya. Mereka beritahu hari ini Perikatan Nasional hanya akan mengumumkan 11 calon daripada 36 kerusi. Itu semalam.
“Saya dengar ucapan daripada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan. Dia kata, Hari ini kita umum 25, esok kita mahu mendengar rakan baik kita mengumumkan yang selebihnya. Dia umum 25. Tadi sahabat saya, Presiden GERAKAN, dah maklumkan kita umum 11. Apa maknanya?
“Apa lagi, kita bersetuju untuk melihat the new political alignment dalam negara kita ini. Kita mahu seluruh rakyat di negara ini melihat dan meletakkan kepercayaan kepada kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks PAS Negeri Sembilan, di sini, pada Khamis.
Menurut Hamzah, Negeri Sembilan menjadi medan pertama kepada pembentukan gagasan politik baharu itu sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain dan seterusnya ke peringkat nasional.
“Ia bermula daripada Negeri Sembilan. Kejayaan kita di Negeri Sembilan akan kita bawa ke negeri-negeri lain dan seterusnya ke peringkat negara. Insya-Allah, akhirnya kita berjaya untuk mengambil alih pentadbiran negara kita.
“Akhir sekali, percayalah bahawa pimpinan yang ada pada hari ini tidak mempunyai kepentingan peribadi sekalipun. Yang penting, kami berjuang demi masa depan rakyat dan negara yang kita cintai.
“Kami bukan hanya berjuang untuk orang Melayu. Kami bukan hanya berjuang untuk orang Cina. Kami bukan hanya berjuang untuk orang India ataupun mana-mana kaum sekalipun,” tambahnya lagi.
Pada Rabu, BN mengumumkan 25 calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala PN mengumumkan baki 11 calon, sebentar tadi, sekali gus melengkapkan agihan kesemua 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.