Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin akui laluan di Linggi tidak mudah, tekad dekati pengundi

 Tok Min, PRN N9
Aminuddin bercakap kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui misi menawan kerusi yang menjadi kubu Barisan Nasional (BN) itu bukan tugas mudah, namun beliau bersedia menggalas tanggungjawab tersebut pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Beliau berkata, persiapan jentera serta perancangan kempen telah digerakkan dan kini tumpuan akan diberikan kepada usaha mendekati pengundi serta membawa isu yang dekat dengan rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, bukan sahaja beliau, malah semua calon PH di setiap DUN perlu memberikan tumpuan serius sepanjang tempoh kempen bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan kepada pengundi.

“Insya-Allah kita telah gerakkan jentera dan saya yakin persiapan telah kita uruskan. Program-program kempen juga telah kita aturkan.

“Saya berharap bukan saya sahaja, tetapi rakan-rakan yang lain di setiap DUN bersedia untuk menumpukan perhatian serius kepada isu kempen dan berjumpa dengan pengundi,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pada Sabtu.

Mengulas keputusan bertanding di DUN Linggi, Aminuddin berkata keputusan untuk bertanding di Linggi dibuat selepas beliau menawarkan diri kepada pimpinan PH dan bersedia menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Ini adalah kubu Barisan Nasional (BN). Saya pasti banyak cabarannya. Saya tidak kata ia mudah, tetapi ini satu cabaran dan saya sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan untuk turun ke Linggi.

“Mereka (pimpinan PH) banyak kali bertanya sama ada saya okey, saya kata saya cuba, saya kena berani memperjuangkan Pakatan Harapan di DUN Linggi,” katanya.

Aminuddin sebelum ini merupakan penyandang kerusi DUN Sikamat selama empat penggal sebelum berpindah kawasan untuk bertanding di Linggi pada PRN16.

Untuk PRN16, Ahli Parlimen Port Dickson itu akan berdepan saingan tiga penjuru dalam misi memperoleh kemenangan pertamanya di DUN tersebut pada 1 Ogos depan.

Aminuddin akan berdepan saingan daripada calon BN yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua di DUN tersebut.

DUN Linggi merupakan kubu kuat BN dan pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di Dun tersebut dengan memperoleh 7,832 undi menewaskan Zambri dengan 6,371 undi, yang ketika itu bertanding menggunakan logo PN.
 

Must Watch Video

Advertisement