PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berdepan saingan tiga penjuru dalam misi memperoleh kemenangan pertamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Aminuddin akan berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua di DUN tersebut.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Daerah Port Dickson, Nurhazelin Makli, di Pusat Penamaan Calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini, pada Sabtu.
Untuk rekod, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, beliau menewaskan calon BN dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi dan pada PRU13, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.
Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN2023 pula, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.
Bagaimanapun untuk PRN16 kali ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu diumumkan sebagai calon PH untuk Dun Linggi.
DUN Linggi merupakan kubu kuat BN dan pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di Dun tersebut dengan memperoleh 7,832 undi menewaskan Zambri dengan 6,371 undi, yang ketika itu bertanding menggunakan logo PN.
Sebelum ke Dun Linggi, beliau pernah dipilih sebagai Adun Bagan Pinang selama satu penggal pada 2004 selepas menang dengan 5,967 undi menewaskan calon Pas, Hassan Alias yang memperoleh 1,556 undi.