Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin diumum calon DUN Linggi

TB_AMINUDDIN DUN LINGGI_AWANI
Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.

Pengumuman dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekali gus menjawab desas-desus dan persoalan mengenai kerusi yang akan ditandingi Aminuddin pada PRN kali ini apabila timbul spekulasi bahawa Aminuddin bakal meninggalkan kubunya di DUN Sikamat untuk bertanding di DUN Linggi.

Untuk rekod, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Pada PRU ke-12, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi dan pada PRU ke-13, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.

Prestasi beliau terus meningkat pada PRU ke-14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.

Pada PRN 2023 pula, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.

Sementara itu, DUN Linggi pada PRN 2023 dimenangi Datuk Mohd Faizal Ramli daripada BN dengan majoriti 1,461 undi selepas memperoleh 7,832 undi berbanding pencabarnya daripada PN-Bersatu, Zamri Md Said yang meraih 6,371 undi.

DUN itu merupakan kubu kuat BN dan tidak pernah beralih penguasaan.

Sebanyak 36 kerusi DUN akan dipertandingkan, melibatkan lebih 889,400 pengundi.

Aminuddin dalam pada itu menyifatkan keputusan bertanding di DUN Linggi sebagai satu cabaran untuk menembusi kubu kuat BN yang secara tradisinya menguasai kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Linggi merupakan antara kawasan yang sering dimenangi BN, namun melihat pilihan raya kali ini sebagai peluang untuk PH memberikan khidmat kepada penduduk setempat serta memastikan kejayaan parti pada pilihan raya akan datang.

“Saya bertanding di Linggi kerana saya maklum bahawa Linggi adalah salah satu kubu Parti Barisan Nasional dan mereka telah menang banyak kali di situ dan pada tradisinya mereka menang di situ,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan beliau memilih kawasan tersebut kerana ia adalah ‘kerusi selamat’.

“Itu bukan kerusi selamat. Itu adalah kubu kuat UMNO Barisan Nasional. Mereka tidak pernah kalah di situ. Kita pernah bertanding di situ dan kita kalah di situ.

“Kali ini saya bertanding di situ untuk pastikan bahawa saya akan cuba memastikan kita menang di situ, insya-Allah,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement