Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin, empat calon PH, tiba di pusat penamaan calon

Aminuddin Harun, PH, Linggi Credit: Astro AWANI
Aminuddin (baju Melayu merah, tiga, kiri) tiba bersama empat calon PH lain di pusat penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson pagi ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun tiba di pusat penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pada jam 8.15 pagi.

Beliau yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, tiba bersama empat calon PH lain dan turut disertai jentera penyokong yang mengenakan pakaian seragam berwarna merah.

Empat yang lain itu ialah Yew Boon Lye bagi kerusi DUN Chuah, Choo Ken Hwa (Lukut), Nasir Raman (Bagan Pinang) dan Dr Rajasekaran Gunnasekaran (Sri Tanjung).

Pada Selasa, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Aminuddin sebagai calon pakatan itu bagi kerusi DUN tersebut.

Pengumuman dibuat Anwar itu sekali gus menjawab desas-desus dan persoalan mengenai kerusi yang akan ditandingi Aminuddin pada PRN kali ini apabila timbul spekulasi bahawa beliau bakal meninggalkan kubunya di DUN Sikamat untuk bertanding di DUN Linggi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dijangka berdepan saingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua di DUN tersebut.

DUN Linggi merupakan kubu kuat BN dan pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di Dun tersebut dengan memperoleh 7,832 undi menewaskan Zambri dengan 6,371 undi, yang ketika itu bertanding menggunakan logo PN.

Sebelum ke DUN Linggi, Mohd Faizal pernah dipilih sebagai Adun Bagan Pinang selama satu penggal pada 2004 selepas menang dengan 5,967 undi menewaskan calon Pas, Hassan Alias yang memperoleh 1,556 undi.
 

Must Watch Video

Advertisement