Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: DUN Paroi terus jadi ‘swing seat’, pengundi utamakan calon atau parti?

Paroi, PRN16  Kredit: Astro Awani
(Dari kiri) Shaari Hasan, Ismail Hassan dan Akmaluddin Mohd Asri yang merupakan pengundi di DUN Paroi.
Advertisement

SEREMBAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi merupakan antara kerusi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Kerusi ini menjadi tumpuan bukan kerana kekuatan calon atau parti yang bertanding, namun, lebih tertumpu kepada pilihan yang dibuat pengundi.

Ini kerana belum ada satu parti atau calon yang berjaya menawan kerusi ini lebih daripada satu penggal sejak ia mula dipertandingkan pada 2004.

Pada 2004, kerusi ini dimenangi Barisan Nasional (BN) sebelum dirampas Pas pada 2008.

Sementara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), BN memenangi semula kerusi ini. 

Namun pada 2018, DUN Paroi dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan menerusi PRN2023, ia ditawan pula oleh Perikatan Nasional (PN).

Ini antara beberapa suara pengundi daripada 64,998 jumlah daftar pemilih DUN Paroi yang Astro AWANI dapatkan mengenai sama ada calon atau parti menjadi pilihan dalam memilih perwakilan ke Dewan Undangan Negeri.

Menurut Shaari Hasan, trend pengundian yang berubah-ubah ditentukan oleh pengundi di atas pagar yang tidak memfokuskan kepada parti atau calon semata-mata.

“Sebabnya pengundi DUN Paroi dia memang tiap-tiap kali pilihan raya dia memang berubah lah. Kadang-kadang dapat dekat Pas, pergi ke BN, lepas BN dia pergi ke Pas balik.

“Ikut ada yang pilih calon, ada yang pilih parti. Yang mana parti BN dia akan undi parti BN lah. Yang menentukan satu-satu parti menang dia mengikut calon. Pengundi atas pagar yang menentukan kemenanganlah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.

Bagi Jimmy Alberet, dia lebih cenderung memilih calon yang lebih dekat dengan rakyat berbanding parti.

“(Saya memilih) calon… calon yang boleh pakai yang untuk masa depan (dan boleh) menolong orang susah, ambil berat tentang rakyat.

“Itu boleh undi, tapi tengok siapa orang dia, tengok siapa yang nak dicalonkan tu,” ujarnya.

Senada dengan Jimmy, Wan Ahmad Shahmi Wan Zainal juga lebih cenderung melakukan penilaian berdasarkan kredibiliti seseorang calon.

“Saya (pilih) individu. (Pada) saya (apa yang) mudah... kalau individu yang tidak buat kerja pun, parti dia tidak penting bagi saya.

“Kalaulah ada parti (politik) itu popular tetapi kalau hari ini ADUN tu dia tidak bertanggungjawab, tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, tidak selesaikan masalah rakyat, dia akan memberi kesan yang besar kepada dialah dan berdasarkan perkara itu akan putuskan pada 1 Ogos ini. Jawapan saya individu.” katanya.

Manakala bagi pengundi muda, Akmaluddin Mohd Asri, keputusan pengundiannya bergantung kepada kedua-dua faktor, namun, lebih terarah kepada pemimpin yang prihatin dan memahami aspirasi rakyat.

“Berdasarkan calon dan parti. Apa yang dia telah buat sebelum ini. Kalau berdasarkan calon, nak calon tu seorang yang amanah, lepas tu nak yang dengar pasal rakyat. Apa rakyat cakap dia buat benda tu, bukan sekadar cakap (sahaja dia) buat sekali,” katanya ringkas.

Sementara bagi pesara tentera, Ismail Hassan, trend kali ini memungkinkan penyandang kerusi DUN Paroi, Kamarol Ridzwan Mohammad Zain untuk kembali dipilih sebagai perwakilan mereka.

“Bagi pendapat sayalah, sebagai pesara saya tengok perjalanan kali ini ada berbeza sikitlah di mana kemungkinan banyak orang menyokong balik Pas pasal UMNO dengan Pas sudah bersatu.

“Jadi nampaknya (mereka) bersatu hati balik. Makna di situ saya tengok Insya-Allah lah mungkin boleh menang,” jelasnya.

Pada PRN2023, Kamarol Ridzwan yang mewakili PN menang dengan 23,840 undi, menewaskan calon PH, Norwani Ahmad yang memperoleh 18,301 undi dan calon Bebas, Syakir Fitri dengan hanya 944 undi.

Pengundi berusia 21 hingga 29 tahun merupakan jumlah daftar pemilih tertinggi di DUN ini dengan 16,803 orang, diikuti 15,222 pengundi dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun.

Manakala pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun mencatatkan 4,885 orang, diikuti kumpulan umur 40 hingga 49 tahun (10,366), 50 hingga 59 tahun (7,882), 60 hingga 69 tahun (6,543), 70 hingga 79 tahun (2,805), 80 hingga 89 tahun (437) dan 85 pengundi berusia 90 tahun ke atas.

Must Watch Video

Advertisement