Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin tekad jadikan Pertang ‘hab intelektual’

TOK JALAL BELIA
Jalaluddin berkata isu capaian internet di kawasan luar bandar turut menjadi keutamaan beliau sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

JELEBU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias bertekad menjadikan kawasan itu sebagai hab intelektual dengan melahirkan lebih ramai cendekiawan dalam kalangan anak-anak luar bandar.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat dan Ahli Parlimen, masih ramai anak muda di Pertang mempunyai potensi untuk melanjutkan pelajaran, namun berdepan kekangan ekonomi keluarga.

“Tentunya, saya tidak lari dalam soal untuk menaikkan ataupun menjadikan Pertang ini sebagai hab intelektual bagi melahirkan cendekiawan di kalangan anak-anak kampung.

“Saya yakin setelah saya melalui tempoh-tempoh yang lepas, Pertang ini mampu melahirkan cendekiawan yang mana apabila saya berpengalaman bagi penggal yang lepas dan sebagai Ahli Parlimen, saya lihat ramai lagi anak-anak yang berkemampuan dalam soal pendidikan untuk melanjutkan pelajaran mereka tetapi oleh kerana tekanan ekonomi keluarga dan sebagainya membuatkan mereka tidak mendapat hak yang sewajarnya.

“Ini adalah merupakan satu prioriti kepada saya untuk penggal yang akan datang insyaAllah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, Jalaluddin berkata, antara fokus utamanya di DUN Pertang adalah membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, usaha itu akan disokong melalui peningkatan pendapatan masyarakat menerusi sektor pertanian, keusahawanan kecil dan aktiviti ekonomi luar bandar.

Pada masa sama, beliau berkata, isu capaian internet di kawasan luar bandar turut menjadi keutamaan memandangkan kemudahan itu penting bagi menyokong keperluan pendidikan dan kerjaya penduduk.

“Saya telah membawa perkara ini ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen bukan sahaja untuk capaian internet di Jelebu, di Pertang, malah di semua kawasan luar bandar termasuk bagi kawasan masyarakat Orang Asli di seluruh Negeri Sembilan, saya telah bawa isu ini dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Ada beberapa kawasan yang sudah mendapat pemancar bagi meningkatkan capaian internet ini tetapi masih belum mencukupi.

“Isu ini tidak boleh tidak, mesti diselesaikan oleh pihak kerajaan, sama ada pihak kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri, ia mesti dan wajar diselesaikan,” tegasnya.

Mengulas mengenai pembangunan belia, Jalaluddin berkata, tumpuan bukan hanya diberikan kepada penyediaan kemudahan sukan dan riadah, malah turut melibatkan aspek pendidikan, latihan kemahiran serta peluang pekerjaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, beliau dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Umry Abdul Khois dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.

Untuk rekod, Jalaluddin memegang kerusi DUN Pertang dari 2013 hingga 2018 sebelum kembali bertanding dan menang semula pada PRN 2023.

Must Watch Video

Advertisement