Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Kerjasama BN-Pas ‘game changer’ landskap politik penjelang PRU

DATUK PROF. DR. AWANG AZMAN AWANG PAWI
Menurut beliau, keputusan dan kesan kerjasama BN-PAS hanya dapat dinilai berdasarkan perkembangan politik serta keputusan yang berlaku selepas ini. Foto: Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR:

Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas disifatkan sebagai satu perubahan besar dalam landskap politik negara yang berpotensi memberi kesan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dekan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Prof Awang Azman Awang Pawi berkata, kerjasama awal antara kedua-dua parti itu perlu dilihat dari sudut impak jangka panjang, khususnya dalam menentukan hala tuju politik negara.

Menurutnya, walaupun bentuk kerjasama politik antara parti sebelum ini berbeza, sejarah menunjukkan dinamika politik sentiasa berubah mengikut kepentingan semasa.

“Saya lihat apa yang berlaku pada hari ini, satu bentuk game changer kepada Barisan Nasional dan juga Pas khususnya untuk melihat sejauh mana kerjasama awal ini akan memberi impak kepada jangka panjang, khususnya menjelang PRU akan datang.

“Kita tahu sebelum ini bentuk kerjasama tersebut berbeza, tetapi kita kena ingat, dalam politik tidak ada musuh dan teman yang kekal. Yang kekal adalah kepentingan,” katanya dalam wawancara bersama Buletin AWANI Khas sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kerjasama politik antara BN dan Pas yang dilihat sebagai satu langkah baharu dalam membentuk strategi politik menjelang pilihan raya akan datang.

Awang Azman turut mengambil contoh perubahan kerjasama politik sebelum ini termasuk hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, Pas dengan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Pas.

Menurut beliau, keputusan dan kesan kerjasama BN-Pas hanya dapat dinilai berdasarkan perkembangan politik serta keputusan yang berlaku selepas ini.

“Ini satu bentuk game changer yang saya lihat antara Barisan Nasional dan juga Pas. Keputusan yang berlaku akan datang akan berdasarkan hasil daripada proses penamaan, kempen dan keputusan.

“Ia memberikan kesan besar bukan sahaja kepada landskap Negeri Sembilan, tetapi juga landskap nasional serta gambaran pertarungan politik akan datang,” katanya.

Beliau menambah, perkembangan kerjasama tersebut perlu diberi perhatian kerana ia berpotensi membentuk corak persaingan politik baharu menjelang PRU akan datang.

 
 

Must Watch Video

Advertisement