KUALA KLAWANG: Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada pembangunan, pendidikan, kesejahteraan rakyat serta usaha menangani kos sara hidup menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, manifesto BN kali ini berlandaskan kepada pendekatan way forward dengan memberi penambahbaikan kepada beberapa segmen yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Seperti yang kita hadapi sekarang ini dalam Kerajaan Perpaduan bagi tempoh 2 tahun 8 bulan, secara keseluruhannya peratusan itu adalah daripada manifesto Barisan Nasional yang telah pun kita terjemahkan.
“Maka pada kali ini, penambahbaikan kepada beberapa segmen tentunya yang berkaitan dengan pembangunan, pendidikan, kesejahteraan dan juga kestabilan rakyat.
“Apatah lagi kepada perkara yang melibatkan pendapatan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, terutama dalam kalangan golongan miskin dan susah,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Jelebu itu, BN juga berhasrat menaik taraf peniaga kecil supaya mereka dapat menjana pendapatan yang sesuai, sekali gus menambah baik ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon PRN Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Menurutnya, keselesaan masyarakat di peringkat akar umbi merupakan penyumbang terbesar kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri sekali gus membolehkan kerajaan mentadbir dengan lebih berkesan apabila diberi mandat oleh rakyat.
Beliau juga menambah, manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan dijangka dilancarkan pada 24 Julai ini dan dijadual diadakan di DUN Linggi.