Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Mohd Faizal tekad bawa sekolah berasrama penuh, perkasa pendidikan dan pembangunan wanita di Linggi

Mohd Faizal Ramli, BN Linggi  Kredit: Astro AWANI
Antara hasrat yang ingin direalisasikan Mohd Faizal, ialah mewujudkan sebuah sekolah berasrama penuh di kawasan Linggi yang menurutnya masih belum mempunyai institusi pendidikan berkenaan. - Foto Astro AWANI
Advertisement

LINGGI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli meletakkan agenda pendidikan sebagai antara keutamaan sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, antara hasrat yang ingin direalisasikan ialah mewujudkan sebuah sekolah berasrama penuh di kawasan Linggi yang menurutnya masih belum mempunyai institusi pendidikan berkenaan.

Menurut beliau, cadangan itu telah disuarakan kepada Presiden UMNO yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai usaha memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan berkenaan.

“Kalau selepas ini diberi mandat, saya telah menyatakan hasrat saya kepada Yang Amat Berhormat Presiden parti dan juga selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mewujudkan sebuah sekolah berasrama penuh di Linggi.

“Daerah Port Dickson ini memang tidak ada sebuah sekolah berasrama penuh. Saya berharap ia menjadi satu lonjakan semangat kepada anak-anak Linggi supaya mereka tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik,” katanya ketika di Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Faizal berkata, walaupun terdapat tanggapan bahawa sekolah-sekolah di Linggi berada di kawasan luar bandar dan terpencil, ramai anak tempatan berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran.

“Ramai juga anak-anak Linggi yang berjaya dan hari ini pun kalau saya tengok daripada segi data yang saya ada hampir 640 pelajar sekarang ini mereka belajar di IPTA, IPTS, pusat-pusat kemahiran dan sebagainya.

“Jadi anak-anak Linggi ini bukanlah mereka tak boleh berjaya, mereka boleh berjaya insya-Allah kalau kita tekankan lagi soal pendidikan kerana hanya dengan ilmu sahaja yang boleh mengubah nasib hidup mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Faizal berkata, agenda memperkasa ekonomi wanita turut menjadi fokusnya memandangkan golongan itu merupakan kumpulan pengundi terbesar di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pelbagai program keusahawanan akan terus diperkukuhkan menerusi agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional bagi membantu usahawan wanita mendapatkan modal dan mengembangkan perniagaan.

“Kita di sini memang sentiasa menyediakan projek ataupun program khusus untuk wanita. Kita ada AIM, kita ada program-program untuk usahawan kecil dan sederhana. Kita akan bantu mereka, terutama jika mereka memerlukan modal. Kita ada AIM, kita ada TEKUN dan itu merupakan antara sumber yang boleh membantu mereka untuk lebih maju.

“Kita juga ada pusat-pusat kegiatan untuk mereka menjalankan aktiviti, berkumpul dan seterusnya kita dapat membantu memperkasakan ekonomi mereka,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, perkembangan sektor pelancongan dan perusahaan kecil di Linggi turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, termasuk melalui tarikan memancing serta kewujudan premis makanan yang semakin mendapat perhatian pengunjung di media sosial.

Menurutnya, perkembangan itu wajar dimanfaatkan bagi terus merancakkan ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk.

Pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di Dun Linggi dengan memperoleh 1,461 majoriti apabila merekodkan 7,832 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zambri Mat Said  dengan 6,371 undi.

Sebelum ke DUN Linggi, beliau juga merupakan bekas ADUN Bagan Pinang selama satu penggal apabila mencatat kemenangan dengan 5,967 undi menewaskan calon Pas, Hassan Alias yang memperoleh 1,556 undi, pada 2004.

Must Watch Video

Advertisement