SEREMBAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli menegaskan beliau tidak memandang mudah cabaran daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di DUN itu.
Beliau berkata, meskipun DUN Linggi sering dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), kemenangan tidak boleh diandaikan dan memerlukan usaha berterusan untuk meraih sokongan pengundi.
Mohd Faizal menjelaskan, beliau bersama jentera parti akan terus memperhebat kempen di setiap kampung dan taman perumahan bagi memastikan BN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN16.
“Jadi saya sebagai penyandang di kawasan N32 Linggi sudah semestinya akan mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas oleh pihak Pakatan Harapan walaupun Barisan Nasional digambarkan Linggi itu sebagai kubu kuat namun, ianya bukanlah satu perkara yang saya akan anggap mudah.
“Saya tetap kena turun padang berkempen dan memastikan memenangi hati-hati pengundi di kawasan saya.
“Jadi, Insya-Allah saya yakin dan percaya jika usaha-usaha yang saya lakukan dengan kerja kuat oleh jentera-jentera parti kita ada seluruh kampung, kita ada seluruh taman, Insya-Allah dengan kerja kuat mereka kita akan berjaya mempertahankan kerusi ini daripada dirampas Pakatan Harapan,” katanya.
Mohd Faizal berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan di Paroi, pada Rabu.
Pada Selasa, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Aminuddin sebagai calon PH bagi kerusi Dun Linggi pada PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini.
Pengumuman itu sekali gus menjawab desas-desus dan persoalan mengenai kerusi yang akan ditandingi Aminuddin pada PRN kali ini apabila timbul spekulasi bahawa Aminuddin bakal meninggalkan kubunya di DUN Sikamat untuk bertanding di DUN Linggi.
Pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di DUN Linggi dengan memperoleh 1,461 majoriti apabila merekodkan 7,832 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zambri Mat Said dengan 6,371 undi.
Sebelum ke DUN Linggi, beliau juga merupakan bekas ADUN Bagan Pinang selama satu penggal apabila mencatat kemenangan dengan 5,967 undi menewakan calon Pas, Hassan Alias yang memperoleh 1,556 undi, pada 2004.