Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Pertarungan penyandang, 2 rakan seuniversiti di DUN Paroi

Calon PN Kamarol Ridzuan Mohd Zain (dua dari kiri) calon Bersatu Nazree Mohd Yunus (tengah) dan calon PH Ahmad Shahir Mohd Shah bertarung merebut kerusi DUN Paroi -- AWANI
Calon PN, Kamarol Ridzuan Mohd Zain (dua, kiri); calon Bersatu, Nazree Mohd Yunus (tengah) dan calon PH, Ahmad Shahir Mohd Shah bertarung merebut kerusi DUN Paroi. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini selepas tiga calon disahkan bertanding sebaik proses penamaan calon selesai pada Sabtu.

Perkara itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa, selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.

Penyandang kerusi daripada Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zain akan mempertahankan DUN Paroi berdepan cabaran daripada calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shahir Mohd Shah serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Nazree Mohd Yunus.

Pertembungan itu turut mencuri perhatian apabila Ahmad Shahir dan Mohd Nazree yang juga Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sembilan merupakan rakan universiti yang kini berada di pentas politik berbeza bagi merebut sokongan hampir 65,000 pengundi di DUN berkenaan.

DUN Paroi yang merupakan kawasan dengan jumlah pengundi terbesar di Negeri Sembilan sering dianggap sebagai antara kerusi panas dan menjadi tumpuan dalam setiap pilihan raya susulan corak pengundian yang berubah-ubah sejak 2004.

Pada PRN 2023, kerusi itu dimenangi Kamarol Ridzuan yang mewakili PN menang dengan majoriti 5,539 pada saingan tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala pengundian dijadual berlangsung 1 Ogos.
 

Must Watch Video

Advertisement