SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dakwaan Pas kerap menggunakan DAP sebagai modal kempen untuk meraih sokongan.
Menurutnya, masalah berkaitan Pakatan Harapan (PH) ketika ini berpunca daripada kelemahan dalaman gabungan itu sendiri.
“Apa yang berlaku ialah ‘self-destruction’. Mereka yang beri masalah kepada diri mereka sendiri. Jadi, kenapa dilabelkan kita meratib pula? Masalah ditimbulkan oleh mereka sendiri. Kena buat cerminan sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata PH terus memainkan naratif perkauman sepanjang kempen dengan menggambarkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PN sebagai sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
“Kalau kita tengok propaganda ini, mereka fikirkan bila diulang-ulang, lama-lama orang percaya.
“Tetapi saya rasa rakyat sudah celik pada waktu ini, dengan maklumat di hujung jari setiap orang, masing-masing boleh tengok apa yang diucapkan lima atau 10 tahun dahulu yang ada dirakamkan.
“Jadi tak timbul pun isu itu, mereka sebenarnya yang menimbulkan masalah sedemikian, ini boleh dilihat pada rekod yang lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, PN dan Pas sudah membuktikan kebolehan untuk mengemudi negeri dengan masyarakat berbilang bangsa.
“Mereka (PH) memainkan peranan untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan mereka sendiri dengan menanamkan rasa benci antara kaum.
“Mencetuskan isu perkauman telah menjadi budaya mereka sejak sekian lama, ini sebagai modal politik ketika musim pilihan raya untuk menewaskan parti-parti tertentu, khususnya UMNO dan Barisan Nasional.
“Kedua, kita telah pun membuktikan di beberapa negeri yang dipimpin oleh PN dan PAS bahawa semua kaum dapat dijaga serta diurus dengan baik.
“Sama ada aspek pembangunan, kesejahteraan rakyat, pendidikan mahupun pemeliharaan warisan, adat dan agama, semuanya diurus secara baik,” katanya.