Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PN simpan kejutan strategi kempen bersama BN, sasar sokongan pelbagai kaum

 isytihar calon, Dr Samsuri
Ahmad Samsuri turut menolak dakwaan masyarakat bukan Melayu perlu berasa bimbang terhadap PN. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bakal memperkenalkan pendekatan serta strategi kempen berbeza sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk kemungkinan membentuk jajaran politik baharu yang diyakini mampu menarik sokongan merentasi kaum.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci bentuk kerjasama atau pendekatan yang dimaksudkan, sebaliknya berkata perkara itu akan dapat disaksikan sepanjang tempoh berkempen.

“Itu saya tak akan beritahu lebih awal, apabila waktu penamaan calon dan ketika tempoh berkempen, ia akan dilihat sendiri oleh pemerhati politik dan rakyat nanti,” katanya mengulas persefahaman dibentuk antara PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional bagi PRN Negeri Sembilan, di sini, pada Khamis.

Dalam persefahaman itu, PN mengumumkan 11 calon, manakala BN menawarkan 25 calon bagi melengkapi kesemua 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

“Ada kemungkinan untuk kerjasama ini diulang lagi dalam pilihan raya lain, kita akan tengok semula,” jelasnya.

Mengulas mengenai kesan kerjasama tersebut, Ahmad Samsuri berkata jajaran politik baharu itu diyakini mampu mewujudkan landskap politik yang lebih stabil serta mendapat penerimaan daripada pengundi pelbagai kaum.

“Saya percaya ini merupakan suatu langkah yang sangat penting terutama bukan sahaja pada pengundi Melayu, bahkan pengundi pelbagai kaum yang ada di Negeri Sembilan.

“Ia akan melihat suatu bentuk kestabilan boleh dicapai dengan jajaran yang baharu begini.

“Jadi, ianya akan memberi suatu nafas baharu yang lebih segar kepada suasana politik dalam negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menolak dakwaan masyarakat bukan Melayu perlu berasa bimbang terhadap PN.

Sebaliknya, beliau menegaskan, gabungan itu mengamalkan politik inklusif dengan kerjasama yang melibatkan masyarakat pelbagai kaum.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan oleh sesiapa, Melayu atau tidak. Kerana kita bekerja bersama, seperti yang anda lihat di Perikatan Nasional, kita bekerja bersama dengan orang Cina, orang India,” katanya.

Tambah Ahmad Samsuri, PN menggabungkan calon berpengalaman dengan calon baharu yang mempunyai pengalaman pentadbiran.

Strategi itu disifatkannya sebagai persediaan membentuk kerajaan negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Must Watch Video

Advertisement