Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Razali kerah pengalaman, pertaruh formula 4 prinsip bangunkan Sikamat

Datuk Razali Abu Samah, PN Sikamat,
Razali berkata, pendekatan berkenan juga selari dengan hasrat beliau untuk menjadi wakil rakyat yang mudah didekati, berbanding hanya tampil dengan pelbagai janji ketika musim pilihan raya. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Razali Abu Samah memperkenalkan pendekatan empat prinsip sebagai asas untuk membangunkan kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata, kaedah berkenaan pernah diamalkan ketika menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka, justeru ia diyakini mampu memastikan setiap keputusan yang dibuat berupaya memenuhi keperluan masyarakat.

“Yang pertama sekali saya mendengar. Lepas itu kita tengok, kita melihat. Kemudian kita mengkaji. Selepas itu barulah kita buat keputusan secara bersama. Keputusan ini bukannya keputusan kita, kita bukan autokrasi.

“Bila bersama nanti semua bersetuju bagaimana nak buat, kita ambil collective opinion, collective decision. Itu yang saya pegang dalam kepimpinan,” katanya menerusi satu temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.

Menurut calon PN daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu, pendekatan berkenan juga selari dengan hasrat beliau untuk menjadi wakil rakyat yang mudah didekati, berbanding hanya tampil dengan pelbagai janji ketika musim pilihan raya.

“Saya datang dengan tidak berjanji. Saya datang bukan dengan berkata-kata. Saya datang untuk memberitahu kepada mereka bahawa saya seorang yang mudah didampingi, yang mudah didekati,” katanya.

Mengulas pembangunan di DUN Sikamat, antara isu yang paling kerap dibangkitkan penduduk sepanjang tempoh berkempen adalah kesesakan jalan raya, banjir, tanah runtuh serta kebajikan peniaga kecil.

Beliau berkata, semua isu itu akan diberi keutamaan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian yang praktikal serta memberi manfaat kepada rakyat.

“Soal jalan raya, kita akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan untuk mengkaji apakah penambahbaikan yang perlu dibuat demi memastikan hasrat rakyat dapat direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan peniaga kecil tidak akan dipinggirkan dengan mengadakan perbincangan bersama persatuan peniaga bagi mencari solusi isu lokasi perniagaan yang sering dibangkitkan.

Razali menegaskan beliau tidak mahu membuat janji yang belum pasti mampu ditunaikan, sebaliknya memilih untuk mendapatkan mandat rakyat terlebih dahulu sebelum melaksanakan penyelesaian terhadap setiap isu yang dikenal pasti.

Kerusi DUN Sikamat sebelum ini dipegang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah berkhidmat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Bagaimanapun untuk PRN16, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak mempertahan DUN tersebut sebaliknya bertanding di Linggi.

Kini DUN Sikamat menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon Nor Azman Mohamad dari PH-PKR dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dari Bersatu.

Must Watch Video

Advertisement