Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Strategi kempen PH ikut keperluan, karakter lokaliti pengundi - Loke

JELEBU, 20 Julai -- Setiausaha Agung DAP yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah Anthony Loke (kiri) bersalaman bersama pesaingnya dari Barisan Nasional Siow Kong Choo ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Titi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony Loke (kiri) bersalaman bersama pesaingnya dari Barisan Nasional Siow Kong Choo ketika berkempen sempena PRN Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Titi. - Foto BERNAMA
Advertisement

JELEBU: Pakatan Harapan (PH) menyusun strategi kempen mengikut keperluan dan karakter setiap lokaliti bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada pengundi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Setiausaha Agung DAP yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah Anthony Loke berkata ini kerana setiap kampung memerlukan pendekatan berbeza dan jentera parti sentiasa bergerak mengikut perancangan ditetapkan.

“Kempen setakat ini berjalan dengan lancar, kawasan dalam DUN Chennah ini memang kita ada susunan tertentu di setiap tempat yang berlainan kerana kampung ada pendekatan berlainan.

“Semua calon PH juga telah memulakan gerak kerja kempen masing-masing dengan turun padang bertemu pengundi dan mendengar sendiri pandangan rakyat dalam tempoh tiga hari kempen bermula ini,” katanya kepada pemberita selepas jelajah mesra bersama penduduk di Pekan Titi di sini hari ini.

Mengenai manifesto PH, Loke berkata ia mengandungi pelbagai tawaran untuk manfaat rakyat dan akan diumumkan secara rasmi malam ini.

“Saya pun tunggu pengumuman malam ini, manifesto itu disediakan oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab, dirundingkan dan dibincangkan sebelum dimuktamadkan. Jadi kita tunggu pelancaran rasmi malam ini,” katanya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berdepan saingan satu lawan satu dengan Siow Kong Choon dari Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya sejak 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari mengundi 1 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement