SEREMBAN: Teka-teki berhubung baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak diumumkan Barisan Nasional (BN) semalam akhirnya terjawab apabila Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan calon bagi kesemua baki kerusi berkenaan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks PAS Negeri Sembilan, di sini, pada Khamis.
Antara calon yang diumumkan ialah Danii Rais (DUN Klawang), Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan), Kumar Paramasevam (Lobak), Razali Abu Samah (Sikamat), Erik Michael (Mambau), Lee Boon Shian (Bukit Kepayang) dan Sathes Kumar Nilameham (Lukut).
PN turut mengekalkan empat penyandangnya iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting), Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).
Semalam, BN mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRN Negeri Sembilan, manakala 11 kerusi lagi tidak diumumkan.
Ketika itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan baki 11 kerusi berkenaan akan diumumkan oleh pihak lain yang sedang dalam rangka kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.