Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Warisan Seri Menanti jadi pemangkin pembangunan pelancongan

KUALA PILAH, 10 Feb -- Pengunjung merakamkan gambar di Istana Seri Menanti di Bandar Diraja Seri Menanti yang terletak 32 KM dari Bandaraya Seremban dan 14 KM dari Bandar Kuala Pilah. Istana Seri Menanti adalah antara destinasi menarik bagi para pengunjung dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020). Istana Seri Menanti yang dibina pada tahun 1902 dan mempunyai seni bina unik iaitu ciri-ciri Minangkabau, berdiri megah setinggi empat tingkat tanpa mengunakan paku, hanya mengunakan samb
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti misalnya, menjadi lambang kehebatan seni pertukangan Melayu. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA PILAH: Seri Menanti bukan sekadar bandar diraja, malah terkenal sebagai antara lokasi yang masih memelihara warisan seni pertukangan Melayu dengan kehalusan ukiran dan seni binanya yang kekal teguh tidak ditelan zaman.

Terletak kira-kira 35 kilometer dari Seremban, kawasan yang berkeluasan kira-kira 200 kilometer persegi dan memiliki sebanyak 10,090 pengundi biasa dan 15 anggota polis sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 itu, menawarkan pelancongan sejarah dan juga suasana kampung.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti misalnya, menjadi lambang kehebatan seni pertukangan Melayu menerusi binaannya yang diperbuat sepenuhnya daripada kayu tanpa menggunakan paku, sekali gus menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain itu, Seri Menanti turut menyajikan pemandangan yang memukau dengan deretan rumah tradisional bercirikan seni bina Minangkabau yang menghiasi laluan menuju ke pekan Kuala Pilah, di samping keindahan alam semula jadi di Air Terjun Ulu Bendul.

Berikutan keunikan yang tersedia di kawasan itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa berhasrat mahu memperkasakan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan komuniti.

Beliau berkata antara inisiatif yang ingin diketengahkan adalah memperluas konsep inap desa dengan memanfaatkan rumah-rumah tidak berpenghuni, yang akan diberikan nafas baharu sebagai penginapan alternatif kepada pelancong.

“Seri Menanti mempunyai keunikan tersendiri sebagai Bandar Diraja dengan kekayaan adat dan budaya. Kita mahu masyarakat sendiri mengambil peluang ini untuk menjana pendapatan melalui sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Mohd Kamarul Arifin melihat sektor makanan tempatan sebagai pelengkap kepada ekosistem pelancongan dengan mengetengahkan hidangan tradisional dan produk tempatan sebagai tarikan, di samping menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian, penternakan dan perladangan.

Beliau turut bercadang menggerakkan pasukan sukarelawan komuniti bagi membantu penduduk, khususnya warga emas, dalam urusan harian termasuk mendapatkan rawatan dan penyelenggaraan kediaman.

Pada PRN kali ini, Mohd Kamarul Arifin ditentang Muhammad Sufian Maradzi daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan, manakala undi awal pada 28 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement