Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Zahid nafi persefahaman BN-PN tidak dapat direalisasikan

[TB]_Zahid Hamidi, MARA, sendayan 1_ASTRO AWANI
Ahmad Zahid turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua gabungan itu, dan berkata mereka bergerak seiring atas nama persefahaman. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan berlaku pergaduhan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sehingga persefahaman yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak dapat direalisasikan

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua gabungan itu, dan berkata mereka bergerak seiring atas nama persefahaman.

Ahmad Zahid turut menjelaskan, tindakannya menyanggah kenyataan seorang Menteri Besar sebelum ini adalah disebabkan beliau percaya kandungan ucapan itu tidak sesuai dikeluarkan di Negeri Sembilan.

“Mungkin geopolitik di sesebuah negeri itu berbeza dengan sebuah negeri
yang lain.

“Mungkin apa yang dikeluarkan itu sesuai untuk negerinya tapi tidak sesuai untuk
Negeri Sembilan.

“Ini bukan satu pergaduhan tetapi sesuatu yang pada hemat saya, tidak seharusnya berlaku,” katanya ketika ditemui media selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026, Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Tanpa menyebut sebarang nama, kenyataan Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sanusi ketika memberi ucapan dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol baru-baru ini, dilaporkan mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Sanusi antara lain menegaskan Malaysia satu-satunya tanah yang menjadi tempat perlindungan bagi orang Melayu, sama seperti negara lain yang mempunyai kaum 
asal masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan pihak terlibat untuk tidak menyalahkan media sekiranya timbul kontroversi mengenai sesebuah kenyataan.

Beliau berkata, media hanya melaporkan apa yang diperkatakan dan tugas wartawan adalah menyampaikan fakta yang benar.

“Kalau buat salah, jangan salahkan media. Media melaporkan apa yang dinyatakan

“Saudara saudari tulis apa yang benar. Setakat ini, baguslah laporan. Jadi jangan salahkan media dalam perkara ini,” ujar beliau.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu hantaran di Facebook semalam, menyifatkan polemik yang timbul antara PN-BN menujukkan persefahaman kedua gabungan itu mula ‘retak’.

Pada hari sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah menjangkakan ketegangan akan berlaku dalam kerjasama PN dan BN kerana ia dibuat atas dasar untuk merebut kuasa.

Must Watch Video

Advertisement