KUALA LUMPUR: Pas memohon maaf dan merakamkan rasa kurang selesa berhubung insiden yang membabitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau yang didakwa 'dihalau' ketika Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor di Pulau Pinang baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan tersebut, namun pihak kepimpinan Pas Pusat percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

Katanya, selain itu, parti pimpinan Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan beliau sendiri merupakan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) dan sewajarnya diberikan penghormatan.

Menurut Takiyuddin, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, Pas percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah memberi pertolongan serta perlindungan kepada pihak yang memerlukan.

"Berdasarkan latar belakang itu, Pas melihat Dominic dan parti pimpinannya tergolong dalam kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan itu.

"Oleh itu, saya menyeru ahli-ahli Pas dengan berlapang dada sewajarnya menjadi pihak yang menghulur segala bantuan sehabis mampu atas semangat setiakawan dan persaudaraan yang tulus," jelasnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Kenyataan itu dipercayai merujuk insiden membabitkan Dominic yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor di Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh Presiden Pas baru-baru ini.

Tambah Takiyuddin, ahli dan penyokong Pas perlu menerima dengan hati terbuka mengenai pemilihan Dominic sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas kerana dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.

Beliau memberitahu, ini kerana keputusan itu dibuat setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan.

Ujarnya, bagaimanapun Pas amat sedar sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan ekoran pencalonan bagi DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

"Semua pihak dalam parti perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.

"Justeru, saya menyeru ahli-ahli Pas berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), malah turut mencabar serta mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden," katanya.

Beliau turut menggesa semua ahli dan penyokong parti PN supaya memberi tumpuan kepada PRN sekali gus mengetepikan sementara perkara-perkara lebih kecil yang boleh melemahkan usaha bersama untuk mencapai kejayaan. - Sinar Harian