IPOH: Pas Perak akan berjuang sehabis baik membantu dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, sehubungan itu pelancaran himpunan jentera Gerak Tumpu Selangor (GTS) dan Gerak Tumpu Pulau Pinang (GTP) akan berlangsung di Tanjung Malim pada 24 Jun ini, khusus bagi membantu PRN.

"Kami (Pas Perak) 'all out' (sehabis baik) bantu jentera PRN di dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

"24 Jun ini di Tanjung Malim kami akan anjurkan himpunan jentera membantu pilihan raya. Pas Perak akan bantu PRN di dua negeri tersebut.

"Kita ada 24 kawasan iaitu 12 kawasan di Pulau Pinang dan 12 di Selangor.

"Keputusan PRN itu nanti akan memberi impak kepada negeri Perak. Sebab itu kita 'all out'," katanya pada sidang media pada Rabu.

Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai persediaan Pas Perak dalam membantu negeri lain yang akan menghadapi PRN.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan baru-baru ini, beliau berkata Ahmad Faizal masih kekal sebagai Pengerusi PN Perak.

"Dia (Ahmad Faizal) masih lagi kekal sebagai Pengerusi PN Perak, itu semua keputusan antara gabungan parti dan kita jalankan tugas masing-masing seperti biasa," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meramalkan PRN di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal diadakan serentak awal bulan Ogos nanti.

Menurut Wan Ahmad, keputusan itu amat signifikan kerana tempoh berakhir penggal pentadbiran beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Selangor, Kelantan dan Terengganu bakal mencapai tempoh matang dan terbubar secara automatik pada akhir Jun ini.