SEMENYIH: Pas Selangor tidak mahu mendabik dada, tetapi yakin mampu memberi saingan sengit sekurang-kurangnya di 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi parti Islam itu di negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Nushi Mahfodz berkata pihaknya menjangkakan tiga kerusi setakat ini dikategorikan sebagai 'kelabu', tetapi enggan mendedahkan kawasan berkenaan.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang mewakili Perikatan Nasional (PN) itu juga menyifatkan sambutan masyarakat terhadap gabungan berkenaan semakin baik termasuk di kerusi ditandinginya.

"Alhamdulillah bagi saya sejujurnya kalau melihat kepada riak muka masyarakat, nampaknya pemurnian demokrasi itu berlaku dengan baik.

"Masyarakat hari ini lebih matang dan pengalaman kami kalau sebelum ini, jujur saya kata kadang-kadang nak masuk satu-satu tempat itu sukar sangat tetapi kali ini paling tidak, dibuka pintu dan boleh masuk kampung-kampung dan sebagainya menyebabkan jentera seronok.

"Ibarat kata kalau bahasa nakalnya pilihan raya kali ini macam raya... kami beraya sakan pergi rumah ke rumah, dan orang (pengundi) pun melayan kami dengan sangat baik," katanya kepada Astro AWANI, di sini.

Sementara itu, mengenai misinya di DUN Semenyih, Nushi berkata beliau mendokong agenda dibawa parti untuk memastikan penyatuan ummah dapat diperkasakan.

Selain itu, beliau mahu memberi tumpuan kepada isu pembangunan infrastruktur, memulihara kampung tradisi serta pembangunan modal insan melalui penekanan terhadap aspek pendidikan.

"Saya lihat antara perkara ialah infrastruktur asas. Contoh tentang akses jalan raya di Semenyih dari Beranang sampai ke Kajang, itu bukan benda yang baharu.

"Dalam masa sama juga apabila menyebut tentang pembangunan, kita tak nak pula tiba-tiba ia menyebabkan suasana kampung tradisi yang sangat cantik ini terganggu.

"Pada masa sama sebagai seorang yang berlatar belakangkan pendidikan, sudah tentu ialah pendidikan," tambah beliau.

Mengenai keluhan penduduk berhubung infrastruktur di Pasar Sementara Semenyih pula, Nushi mengakui kelompangan itu berlaku susulan kekangan sumber yang dihadapi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Antara cabaran juga Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sendiri terpaksa jaga satu satu daerah yang sangat besar, dengan bilangan jutaan penduduk. Ini bukan benda yang kecil.

"Sebab itu MPKj, ya betul perlu bertindak dengan lebih efisen dan efektif tetapi dalam masa saya percaya perlu ada ruang-ruang sinergi antara kerajaan tempatan dan Persekutuan," ujarnya lagi.

Pada 12 Ogos ini, DUN Semenyih menyaksikan saingan satu lawan satu  antara calon Barisan Nasional (BN), Wan Zulaika Anua dan Nushi.