KUALA LUMPUR: Pengundi muda mahu memilih calon wakil rakyat yang berusia antara 30 hingga 40 tahun, kata Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Ahmad Shahir Mohd Shah.
Jelasnya, pemilihan itu dibuat mengambil kira faktor tenaga untuk berkhidmat dan faktor jurang bahasa untuk berkomunikasi mengenai isu-isu setempat.
"Saya berkongsi pengalaman berbual dengan seorang pengundi muda. Katanya, dia mencari umur wakil rakyat antara 30 hingga 40 tahun. Saya tanya kenapa tidak pilih wakil rakyat dengan umur yang sama seperti kami iaitu sekitar 25 tahun.
“Jelasnya, Syed Saddiq berusia 25 tahun dan jadi menteri. Katanya lagi, dia kenal individu yang sama umur dengannya dan belum yakin ada kemampuan untuk capai perkara yang diperlukan,” katanya dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Dalam temu bual sama, Sarjana Chevening dalam komunikasi politik, Daniel Teoh Tzu Yong pula berkata parti-parti politik harus memberi tumpuan kepada sekumpulan pengundi yang memendam rasa tidak percaya dan tidak berpuas hati terhadap ketidakupayaan orang politik menyelesaikan isu poket rakyat yang membebani mereka.
"Kita terlepas pandang satu golongan. Kita biasa rujuk kepada golongan pemodal dan pekerja. Baru-baru ini ada satu terma baharu iaitu prekariat; orang yang tidak ada kerja atau orang yang ada kerja tetapi kerjanya tidak terjamin. Pekerja gig juga tergolong dalam kumpulan ini.
“Prekariat ini biasanya marah kepada sistem; meluat kepada semua parti politik, tidak percaya kepada parti politik dan tidak pandang sebarang pencapaian kerajaan. Ini kerana mereka terlalu sibuk hendak pastikan kelangsungan hidup.
“Dalam pilihan raya kali ini, adakah akan muncul satu tokoh yang boleh menangkap imaginasi kumpulan prekariat; yang mungkin merupakan sebahagian besar daripada masyarakat?,” soalnya.
Susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 manakala 27 Jun 2026 sebagai hari penamaan calon.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan bagi PRU DUN Negeri Sembilan ke-16 pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai 2026 manakala hari mengundi pada 1 Ogos 2026.