SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan rundingan kerusi gabungan parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan dimuktamadkan 22 Jun ini.

Jelasnya, rundingan itu hanya tinggal beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan pemilihan calon dibuat parti-parti dalam PN.

"Kita dah hampir selesai rundingan enam negeri, ini kita akan muktamadkan dalam mesyuarat pada 22 Jun 2023... semua yang dirunding akan diselesaikan.

"Selepas itu parti boleh buat persiapan lengkap termasuk untuk menyenaraikan nama-nama calon bagi kerusi di bawah parti masing-masing," jelasnya.

Tambah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi, beliau yakin PN boleh meraih kemenangan di enam negeri pada PRN akan datang.

"Hari ini saya melihat satu gelombang anak muda selain gelombang rakyat untuk beri sokongan padu. Saya agak begitu yakin dengan situasi yang kita dah bermula hari ini, harapan adalah amat cerah sekali.

"Kita dah mula pun pelancaran jentera di hampir semua negeri, kedua himpunan mega negeri dan pusat.

"Semua enam negeri sudah mulakan awal membawa mesej apa kita perjuangankan, beri penerangan situasi semasa berhubung soal kegagalan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pencapaian telah kita capai di negeri bawah PN," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.