KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dilihat mahu mencetuskan krisis legitimasi moral apabila memainkan naratif kerajaan Persekutuan akan bertukar sekiranya gabungan itu menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Sivamurugan Pandian berkata, hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang mudah selepas wujudnya Akta Antilompat Parti kerana tidak lagi bersifat individu tetapi perlu keluar bersama sebagai satu blok.

Dalam konteks ini katanya, satu konsensus perlu dicapai di dalam sesuatu blok jika mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan yang ada.

“Saya lihat mungkin PN memainkan isu ini kerana mahu melahirkan krisis ke atas legitimasi moral dan bukannya legitimasi politik. Ini kerana jika enam buah negeri jatuh, mereka merasakan itu boleh menarik sokongan daripada blok tertentu berkalih kepada PN.

“Apabila berkempen dengan cara seperti itu, ia seolah-olah memberikan gambaran bahawa PN ada sokongan, walhal Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan bahawa mereka yakin untuk kekal dan tawan.

“Ini bermaksud, kekalkan negeri yang sudah ada di bawah pentadbiran mereka dan menawan negeri-negeri lain. Bagi saya, ia lebih bersifat mengurus persepsi dalam kalangan pengundi supaya mereka seolah-olah terkeliru dengan pelbagai kenyataan seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sekali lagi mengingatkan bahawa PN tidak akan dapat membentuk kerajaan walaupun menang kesemua enam negeri pada PRN Sabtu ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai sokongan 148 ahli Parlimen yang kesemuanya terikat dengan Akta Anti Lompat Parti termasuk daripada Sabah dan Sarawak.

Tambah Sivamurugan, keadaan sebelum tahun 2022 berbeza kerana mandat yang ada pada kerajaan ketika itu terlalu tipis tetapi Anwar mempunyai sokongan dua pertiga majoriti bagi sebuah kerajaan sejak tahun 2008.

“Pilihan raya selepas 2008, 2013 dan 2018, semuanya tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Akhirnya, pada tahun 2022 Datuk Seri Anwar berjaya mendapat mandat 148 hasil pembentukan kerajaan campuran iaitu penggabungan diantara PH, BN, GRS (Gabungan Rakyat Sabah), GPS (Gabungan Parti Sarawak), Warisan dan Bebas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi itu boleh berlaku kalau sesuatu blok itu menarik sokongannya atau pengosongan kerusi oleh mana-mana wakil rakyat.

Contohnya, BN menarik sokongan 30 ahli Parlimennya tetapi Anwar masih bertahan dengan 118 sokongan yang lain, melainkan blok-blok lain turut menarik keluar sokongan.

“Kalau keluar secara individu, ia akan menyebabkan kerusi itu kosong dan pilihan raya akan diadakan. Kalau keluar secara blok, tidak dikira keluar atau lompat parti,” jelasnya.

Ujar beliau, Malaysia mungkin akan berdepan dengan implikasi besar jika ia berlaku yang mana akan melahirkan kerajaan yang tidak menentu dan mencetuskan ketidakstabilan politik secara berterusan.

Selain itu katanya, ia juga bermakna mereka ingkar dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu Kerajaan Perpaduan diwujudkan bagi menghentikan persengketaan politik, memberi tumpuan ke atas pentadbiran negara dan merancakkan pertumbuhan ekonomi demi rakyat. - Sinar Harian