PRN: PN perlu kerja keras raih sokongan pengundi bukan Islam - Gerakan

Astro Awani
Januari 11, 2023 21:15 MYT
Lau bercakap pada sidang media di pejabat Gerakan di George Town semalam. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) perlu bekerja keras menarik minat dan sokongan pengundi bukan Islam menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau berkata, masih ramai dalam kalangan orang bukan Islam yang bimbang mengenai isu berkaitan Islamofobia dan juga kenyataan dibuat pimpinan Pas.
Katanya, mudah untuk mendapat sokongan orang Melayu yang kekal bersama-sama PN namun cabaran besar adalah untuk mendapatkan sokongan orang bukan Islam dan Melayu.
"Kita faham kebimbangan dan ketakutan golongan bukan Islam.
"Oleh itu, sebagai parti komponen dalam PN, kita katakan, adalah penting diadakan satu dialog di antara parti dan parti dulu. Bagilah ahli kita dan pemimpin mengadakan dialog.
"Daripada dialog itu, akan ada satu persefahaman mengenai isu-isu yang kita katakan sensitif," kata Lau pada sidang media di pejabat Gerakan di sini semalam.
Katanya, bagi mendapatkan penjelasan, Gerakan mengadakan dialoq tertutup dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin lalu.
Menurutnya, antara isu yang menarik perhatian adalah Rang Undang-Undang (RUU) 355, yang katanya, perlu difahami bahawa, jika ia dilaksanakan, hanya akan melibatkan mereka yang beragama Islam.
Pada masa sama, Timbalan Pengerusi PN itu berkata, pihaknya mendengar penjelasan dibuat Abdul Hadi berhubung keputusan tidak membenarkan lesen judi 4D di Kelantan.
Malah, katanya, persetujuan tersebut dicapai selepas perbincangan dibuat dalam kalangan pemimpin agama di Kelantan, termasuk melibatkan pemimpin agama Buddha dan Hindu.
Pada sidang media sama, Lau turut menempelak kenyataan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang mendakwa Gerakan rela bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis yang dibawa oleh PN demi untuk kekal dalam politik negara.
Beliau menyifatkan Zairil tidak memahami perjuangan sebenar PN yang menekankan kepada prinsip prihatin, bersih, stabil dan menolak rasuah.
#Perikatan Nasional #Dominic Lau #PAS #sokongan orang bukan Islam