GEORGE TOWN: Konflik berhubung isu calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas terus menjadi hangat, malah Pas negeri dilihat masih tidak menerima keputusan Majlis Presiden PN itu.

Pas Pulau Pinang menyifatkan keputusan meletakkan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai di kerusi berkenaan akan memberi laluan mudah kepada lawan.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Iszuree Ibrahim berkata, Bayan Lepas merupakan kawasan pengundi Melayu dengan pengundi Cina lebih terarah kepada Pakatan Harapan (PH).

"Kita boleh menang kalau letak calon yang betul kerana sentimen ketika ini adalah gelombang anak muda Melayu yang berikan dukungan kuat kepada PN.

"Gelombang PN menampakkan kesepaduan orang Melayu jika calonnya dalam kalangan orang Melayu tetapi jika sebaliknya memang agak sukar kerana pengundi Cina dalam 35 peratus akan pergi ke PH.

"Pengundi Melayu tidak akan berikan undi kepada beliau (Dominic) dan ini hanya mendatangkan keuntungan kepada calon lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

BACA: Pas, Gerakan Pulau Pinang berebut kerusi, ancam boikot

BACA: Dominic Lau bertanding di Bayan Lepas, ini senarai calon PN


BACA: Dominic sah bertanding di DUN Bayan Lepas - Hamzah

Mengulas lanjut, yang sebelum ini dicadangkan sebagai calon asal Pas di kerusi tersebut kecewa dengan tindakan PN Pusat yang membuat keputusan tanpa mendapat restu dari Pas.

Pas Pulau Pinang katanya terus dibiarkan menjadi minoriti dengan agihan kerusi yang kecil jika dibandingkan dengan Kedah.

Insiden seumpana ini jelasnya bukan pertama kali berlaku terhadap Pas.

Selain itu, beliau menyifatkan Dominic menggunakan jawatannya selaku Presiden Gerakan untuk bertanding dengan mudah di kawasan berkenaan.

"Mungkin dia (Dominic) berhasrat nak jadi Ketua Menterilah kalau PN Pulau Pinang menang dan kita bukan nak menentang.

"Persoalannya kenapa daripada 15 kerusi Pas ini (di Pulau Pinang) satu perlu diserahkan kepada Gerakan. Kalau di Kedah, serah tiga kerusi pada Gerakan mereka masih berbaki banyak kerusi.

"Di Pulau Pinang ada 40 kerusi DUN dan Pas cuma diberikan 15 kerusi... dan sekarang serah satu kerusi kepada Gerakan. Jadi ini yang saya ingin PN Pusat sedar... tapi mereka tak ambil iktibar apa yang berlaku di Sungai Petani sebelum ini.

"Pas dan Bersatu negeri telah setuju tidak berikan mana-mana kerusi kerana kita sudah ada MoU (perjanjian persefahaman) yang telah dibahagi sama rata (kerusi)," tegasnya lagi.

Ditanya sama ada pihaknya akan terus melakukan protes, Iszuree berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada ahli-ahli Pas negeri.

Ujarnya, seluruh jentera parti juga sudah menjelaskan pendirian mereka sebelum ini sekiranya Dominic kekal di kerusi tersebut.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainduddin menerusi kenyataan ringkas pada Khamis, berkata keputusan meletakkan Dominic di DUN Bayan Lepas sudah dipersetujui Majlis Presiden PN.

Pas Pulau Pinang terutama Bayan Lepas dilaporkan menentang cadangan itu secara terbuka termasuk mengadakan demonstrasi dan sidang media, sebelum majlis pengumuman calon malam tadi mengesahkan Dominic dinamakan sebagai calon PN di Bayan Lepas.