PRN: Rundingan kerusi di Kelantan selesai 99 peratus - Nik Nazmi

Sinar Harian
Jun 26, 2023 16:02 MYT
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangan mengenainya sangat positif. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Rundingan pembahagian kerusi antara parti Kerajaan Perpaduan di Kelantan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai 99 peratus.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangan mengenainya sangat positif.
"Insya-ALLAH, kita akan umumkan dalam masa yang terdekat,” kata kepada pemberita selepas Program Town Hall Sinar Harian yang berlangsung, di sini pada Isnin.
Tegasnya, Barisan Nasional (BN) akan diberi keutamaan dalam pembahagian kerusi di Kelantan dan Terengganu berbanding Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, perkara tersebut diambil kira berdasarkan faktor sejarah gabungan tersebut yang telah mempunyai pengaruh sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, kita (PH) juga mempunyai peranan strategik terutama bagi kerusi boleh menang di sana,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah bekas calon Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Nik Nazmi berkata, perkara itu diserahkan kepada pimpinan tertinggi.
- Sinar Harian
#PRN Kelantan #rundingan kerusi #Kerajaan Perpaduan #Nik Nazmi Nik Ahmad