[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

PRN Sabah: Belia tuntut perubahan, janji pembangunan jadi taruhan - Penganalisis

Faida Rahim 15/11/2025 | 06:51 MYT
Noviathin berkata gelombang politik belia kini berbeza berbanding dahulu kerana akses maklumat berada di hujung jari. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bukan sekadar medan politik, tetapi turut dilihat sebagai platform penting untuk merangka pembangunan belia yang lebih berkualiti.


Ringkasan AI
  • Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menjadi platform penting untuk merangka pembangunan belia yang lebih berkualiti, berdasarkan pandangan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noviathin Syarifuddin.
  • Demografi di Zon Pantai Timur Sabah memerlukan pembangunan belia untuk memberi peluang pekerjaan, mengurangkan migrasi, dan memperkasakan sumbangan generasi muda kepada Sabah.
  • Pembangunan belia perlu menitikberatkan peluang pekerjaan tidak hanya dalam sektor profesional tetapi juga dalam bidang keusahawanan dan ekonomi gig, serta menekankan aspek sosial ekonomi selain isu tradisional seperti infrastruktur asas.


Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noviathin Syarifuddin berkata gelombang politik belia kini berbeza berbanding dahulu kerana akses maklumat berada di hujung jari, sekali gus menuntut janji pembangunan yang menekankan aspek kualiti.

“Apabila melihat kepada demografi di Zon Pantai Timur Sabah, kita perlukan pembangunan belia agar mereka mendapat peluang pekerjaan. Dengan itu migrasi dapat dikurangkan dan mereka kembali menyumbang kepada Sabah,” katanya dalam program khas Sabah Memilih hari ini.

Menurut beliau, peluang pekerjaan tidak terhad kepada sektor profesional semata-mata, malah merangkumi bidang keusahawanan dan ekonomi gig yang kini semakin menjadi trend dengan golongan muda melakukan lebih daripada satu kerja dalam satu masa.

“Justeru, niche pembangunan sosial ekonomi perlu diketengahkan selain isu tradisional seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang sememangnya penting,” katanya.

Noviathin menegaskan pembangunan bersifat dinamik dan tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang statik.

“Kita tidak boleh mengharapkan pembangunan berlaku serta-merta. Ia perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan pendekatan ‘pelan-pelan asalkan selamat’,” katanya.
#Dr Noviathin Syarifuddin #senarai calon PRN Sabah #PRN Sabah live update #manifesto PRN Sabah #Calon PRN Sabah 2025