POLITIK

PRN Sabah: BN akan tentukan jumlah kerusi berdasarkan kebolehmenangan - Ahmad Zahid

Hasimi Muhamad 18/10/2025 | 04:57 MYT
Ahmad Zahid hadir merasmikan Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Pusat akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang, berdasarkan faktor kebolehmenangan.


Ringkasan AI
  • BN Pusat akan memuktamadkan jumlah kerusi PRN Sabah ke-17 berdasarkan faktor kebolehmenangan, walaupun BN Sabah mencadangkan untuk bertanding di 48 kerusi DUN.
  • Proses pemilihan calon sedang dilakukan dengan tiga hingga lima nama bagi setiap kerusi, menekankan muka baharu (81%) dan calon muda (50%) tanpa menolak yang berpengalaman.
  • BN dan PH berunding dengan GRS untuk elak pertindihan kerusi, sementara manifesto PRN17 dijangka diumum selepas penamaan calon pada 15 November.


Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun BN Pusat telah menerima permintaan UMNO dan BN Sabah untuk bertanding di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara itu telah didengari dan dihormati.

"Tetapi sebagai Pengerusi BN di peringkat nasional, kita telah memberikan kuasa autonomi kepada UMNO dan BN Sabah. Jadi tentunya mereka mempunyai perkiraan tersendiri untuk kerusi-kerusi yang ditandingi itu.

"Namun, kita harus mengakui hakikat bahawa kita letakkan calon-calon di kerusi-kerusi yang dijangka menang atau 'winnable seats'.

"Di mana kita lihat bahawa 'winnability' ini bergantung pada beberapa faktor dan kita akan tentukan serta muktamadkan calon-calon yang telah dikemukakan itu," katanya ketika ditemui selepas hadir merasmikan Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata pihaknya telah menerima antara tiga hingga lima nama calon bagi setiap kerusi, dan proses penelitian sedang dilakukan bersama kepimpinan BN Sabah dan BN Pusat.

".... dan kemudian akan memuktamadkan hanya kerusi-kerusi yang dijangka mempunyai kebolehmenangan yang tinggi," tambahnya.

Ditanya sama ada baki 25 kerusi lagi adalah milik Pakatan Harapan (PH) memandangkan BN Sabah mencadangkan 48 kerusi, Ahmad Zahid menegaskan 'tidak'.

Sebaliknya tegas beliau, BN telah mengadakan rundingan gabungan tersebut, dan telah memuktamadkan agar tidak berlaku pertindingan kerusi pada PRN17.

"Setakat ini, PH saya mendapat khabar bahawa mereka masih lagi berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PH," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan BN Pusat dan BN Sabah mengekalkan prinsip untuk memberi peluang kepada calon muka baharu tanpa mengenepikan mereka yang berpengalaman, serta diyakini mendapat sokongan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata gabungan itu dijangka mengumumkan manifesto bagi PRN Sabah selepas penamaan calon, yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 15 November depan.

Terdahulu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa BN Sabah telah mencadangkan 48 kerusi kepada BN Pusat untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurut beliau, sebanyak 81 peratus daripada calon yang akan ditampilkan merupakan muka baharu, manakala 50 peratus daripadanya terdiri daripada calon muda.



#PRN Sabah #Barisan Nasional #Ahmad Zahid Hamidi #kerusi ditandingi #terkini