POLITIK

PRN Sabah: BN fokus kerusi berpotensi menang, tak bertanding di semua 73 DUN - Zahid

Khalis Khadir 20/09/2025 | 09:10 MYT
Ahmad Zahid (depan, empat, kanan) melancarkan Skuad Sukarelawan BN Negeri Sabah di Menara UMNO, di sini, pada Sabtu. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) mengesahkan tidak akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17), sebaliknya hanya akan meletakkan calon di kawasan yang berpotensi menang.


Ringkasan AI
  • Barisan Nasional (BN) mengesahkan tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN Sabah ke-17, sebaliknya hanya meletakkan calon di kawasan yang berpotensi menang bagi memastikan strategi lebih berfokus dan berkesan.
  • BN optimis mampu melepasi pencapaian 14 kerusi yang dimenangi pada PRN Sabah sebelum ini, dengan sasaran untuk menambah bilangan kerusi di kawasan baharu yang dianggap mempunyai peluang kemenangan tinggi.
  • Pendekatan ini diambil bagi memastikan BN dapat memaksimumkan peluang kemenangan dan mengukuhkan kedudukan dalam DUN Sabah pada pilihan raya akan datang.


Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan strategi yang lebih berfokus dan berkesan dalam menghadapi PRN kali ini.

“Apa yang pasti kita tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi untuk PRN Sabah. Namun ada jumlah kerusi yang kita fikirkan di mana kita akan letakkan calon berdasarkan kepada kebolehmenangan.

“Apa yang penting, kerusi-kerusi ini adalah kerusi-kerusi yang kebolehmenangannya tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Skuad Sukarelawan BN Negeri Sabah di Menara UMNO, di sini, pada Sabtu.

Beliau pada masa sama optimis BN mampu melepasi pencapaian 14 kerusi yang dimenangi pada PRN Sabah sebelum ini.

“Ya pasti, kerana dulu kita memenangi 14 kerusi dan (kali ini) pasti lebih daripada 14. Jadi selain daripada 14 kerusi yang ada, tetapi enam daripada yang melompat, jadi atas daripada 14 itu adalah kerusi-kerusi di kawasan-kawasan DUN yang kita anggap baharu.

“Namun kita yakin kebanyakannya akan memihak kepada Barisan Nasional,” jelasnya.




#PRN Sabah #Zahid Hamidi #Barisan Nasional #UMNO