POLITIK

PRN Sabah: BN mahu ‘Bikin Balik Sabah’ - Zahid Hamidi

Hasimi Muhamad 09/11/2025 | 08:00 MYT
Ahmad Zahid berkata, PRN17 mesti menjadi ‘game changer’ dan membawa perubahan drastik untuk rakyat Sabah. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN komited untuk “bikin balik Sabah” dengan membawa perubahan besar, kestabilan politik, serta memastikan kepimpinan negeri ini terus diterajui sepenuhnya oleh anak Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan pesta logo atau perlawanan politik semata-mata.

Sebaliknya, ia medan penting untuk rakyat menentukan kerajaan yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah Sabah dengan segera.

“BN mahu 'bikin balik' Sabah. Kali ini bukan sekadar slogan, tetapi pelaksanaan sebenar untuk mengembalikan perpaduan dan kestabilan negeri.

“Parti yang tidur pun mahu masuk bertanding. Dulu ada 14 parti politik (dalam PRN16) tetapi PRN kali ini bukan pesta logo. Rakyat mahu kerajaan yang boleh selesaikan masalah di Sabah, dan diselesaikan segera,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama antaranya Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut Zahid, fokus BN kini adalah memastikan slogan “Bikin Balik Sabah” diterjemahkan dalam bentuk tindakan sebenar, bukan sekadar laungan politik.

Presiden UMNO itu menambah PRN17 mesti menjadi ‘game changer’ dan membawa perubahan drastik untuk rakyat Sabah.

Beliau juga menekankan pentingnya perpaduan dalam kalangan pemimpin dan jentera BN bagi mengelakkan perpecahan serta perebutan kuasa yang boleh menjejaskan kekuatan parti.

Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO dan BN Sabah kini 100 peratus dipimpin oleh rakyat tempatan, dan parti itu tidak mempunyai niat untuk menghantar calon dari Semenanjung.

Ujarnya, calon Ketua Menteri Sabah juga akan datang dari negeri itu jika BN mendapat mandat untuk mentadbir semula
#PRN Sabah #Ahmad Zahid Hamidi #bikin balik sabah #calon ketua menteri