POLITIK

PRN Sabah: BN Sabah akan umum lima hingga enam kerusi lagi - Bung Moktar

Khalis Khadir 09/11/2025 | 13:15 MYT
Bung Moktar berkata, kerusi-kerusi berkenaan meliputi kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah. - Gambar Astro AWANI
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah dijangka mengumumkan lima hingga enam kerusi lagi dalam masa terdekat, untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerusi-kerusi berkenaan meliputi kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.

Katanya, BN Sabah menjangkakan keseluruhan kerusi yang bakal ditandingi adalah sebanyak 48 kerusi.

“Ada strategi lain (kenapa belum umum sekarang). Ia kerusi ‘special’,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon BN Sabah di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, sebanyak 33 kawasan melibatkan UMNO dalam 41 kerusi yang diumumkan hari ini.

Selain itu katanya, dua kerusi diagihkan kepada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) melibatkan DUN Sook dan Kundasang, manakala MCA bertanding di kerusi DUN Tanjong Kapor.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan agihan kerusi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, calon-calon yang ditampilkan adalah yang terbaik bagi menggalas amanah BN Sabah.

“Bermakna BN, melalui calon-calon anak muda, kita bersedia merubah nasib rakyat Sabah.

“Jadi sokonglah calon-calon BN sebab kami telah bersedia menggalas amanah dan memperbetulkan keadaan yang tidak baik pada hari ini,” ujarnya.

Jelas Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi, BN Sabah juga komited untuk menyelesaikan isu asas seperti air dalam tempoh tiga tahun, jika mendapat mandat mentadbir Kerajaan Negeri.

Dua doktor perubatan antara 41 calon yang diumumkan oleh BN Sabah.

Mereka masing-masing ialah Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (DUN Sulaman) dan Dr Elmiariezan Ardan (DUN Apas).



#Barisan Nasional #Parlimen #UMNO #MCA