POLITIK

PRN Sabah: BN Sabah umum calon di 41 kerusi, lebih 30 peratus calon muda

Hasimi Muhamad, Khalis Khadir 09/11/2025 | 10:15 MYT
Bung Moktar berkata, pemilihan calon dibuat secara teliti bagi menampilkan gabungan terbaik yang berpengalaman, berwibawa, berketerampilan serta mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual pada 29 November ini.


Ringkasan AI
  • Barisan Nasional (BN) Sabah akan bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini dengan calon yang dipilih teliti bagi menampilkan gabungan berpengalaman, berwibawa, dan berrekod cemerlang.
  • Pemilihan calon kali ini menekankan kepentingan membawa agenda Sabah yang berpaksikan rakyat, dengan 80 peratus calon baru dan lebih 30 peratus daripadanya adalah wakil golongan muda, menunjukkan aspirasi untuk pembaharuan yang responsif serta memberi tempat kepada generasi muda.
  • BN Sabah menegaskan bahawa gabungan pemimpin berpengalaman, wajah baru, dan calon muda berkelayakan tinggi akan memberi kelebihan besar kepada parti itu dalam membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih cerah, progresif, dan berdaya saing.


Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemilihan calon dibuat secara teliti bagi menampilkan gabungan terbaik yang berpengalaman, berwibawa, berketerampilan serta mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Katanya, pemilihan calon kali ini juga bukan sekadar berdasarkan latar belakang individu, tetapi berasaskan kemampuan membawa agenda Sabah yang berpaksikan kepentingan rakyat Sabah.

“Selain mengambil kira aspirasi rakyat, BN Sabah juga tampil dengan wajah, jiwa dan pendekatan baharu, di mana 80 peratus calon terdiri daripada muka baharu sebagai tanda iltizam BN untuk membawa pembaharuan yang lebih progresif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

“Daripada jumlah itu, lebih 30 peratus calon merupakan wakil golongan muda, bagi memastikan suara dan aspirasi generasi muda terus diberi tempat dalam kepimpinan negeri,” katanya.

Bung Moktar berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Calon BN di Bangunan UMNO Sabah, di sini pada Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian, manakala 15 November dan 25 November masing-masing sebagai hari penamaan dan undi awal.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata gabungan pemimpin berpengalaman dengan wajah baharu serta calon muda berkelayakan tinggi diyakini akan memberi kelebihan besar kepada BN Sabah untuk membawa negeri itu menuju masa depan yang lebih cerah, progresif dan berdaya saing.

Calon-calon BN yang diketengahkan juga katanya, diperkuat dengan latar belakang pendidikan yang tinggi, termasuk memiliki ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Dua orang calon merupakan doktor perubatan, masing-masing ialah Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (N.12 Sulaman) dan Dr Elmiariezan Ardan (N.66 Apas).

“InsyaAllah, calon-calon ini mencerminkan sebuah tawaran menyeluruh untuk memastikan Sabah bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun, makmur dan inklusif.

“BN Sabah yakin kesepaduan antara pemimpin berpengalaman dengan wajah baharu serta calon muda berkelayakan tinggi akan memberi kelebihan besar untuk membawa Sabah menuju masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing,” katanya.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata senarai calon yang diumum tidak muktamad sepenuhnya dan tertakluk kepada perkembangan mutakhir menjelang hari penamaan calon.

Katanya, beberapa lagi nama calon akan diumum kemudian.



#Barisan Nasional #Suruhanjaya Pilihan Raya #undi awal #hari penamaan