[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
POLITIK

PRN Sabah: BN tanding guna logo dacing, terbuka untuk kerjasama parti lain

Bernama 24/06/2025 | 10:00 MYT
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan bertanding menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, namun tetap mengamalkan pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.

Ringkasan AI
  • BN akan bertanding atas logo dacing, namun tetap terbuka untuk berunding dan membentuk kerjasama politik dengan parti lain.
  • Ahmad Zahid menegaskan komitmen BN terhadap pendekatan inklusif, sambil mengelak sebarang pertandingan sesama rakan politik dan mengutamakan rundingan positif.
  • Perbincangan terperinci masih belum dimuktamadkan, memandangkan DUN Sabah belum dibubarkan, tetapi persediaan akan dipertingkat seiring dengan perkembangan semasa.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak kerana gabungan berkenaan percaya pada sikap keterbukaan dalam politik.
"Kita harap perbincangan semua positif. Tidak ada pintu yang harus dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya. Ertinya, ruangan perundingan dan kunjungan itu sering dilakukan.
"BN bertanding atas lambang dacing, tetapi kita tidak menolak kolaborasi dengan gabungan parti lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid berkata perbincangan terperinci belum dapat dilakukan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan, namun pertemuan dan perundingan akan dilakukan dengan lebih intensif apabila tiba masanya.
Mengenai isu pembahagian kerusi, Ahmad Zahid berkata perbincangan setakat ini tidak menyentuh perkara itu, tetapi BN tetap komited untuk mengelakkan pertandingan sesama sendiri.
"Yang terbaik ialah kita mempunyai sikap terbuka dan tentunya kita mencari rakan lebih ramai daripada mencari musuh," katanya.
Penggal lima tahun DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini yang membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
-- BERNAMA
#PRN Sabah #Barisan Nasional #Ahmad Zahid Hamidi #logo dacing