POLITIK

PRN Sabah: BN wadah perjuangan rakyat bangunkan negeri - Ahmad Zahid

Bernama 18/10/2025 | 13:15 MYT
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu menjadi wadah perjuangan politik rakyat Sabah untuk membangunkan negeri berkenaan. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu menjadi wadah perjuangan politik rakyat Sabah untuk membangunkan negeri berkenaan.


Ringkasan AI
  • Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN kekal memperjuangkan pembangunan Sabah dan pernah mempertahankan negeri itu semasa insiden Lahad Datu 2013.
  • Beliau berkata BN Sabah diberi kuasa autonomi sebagai bukti kepercayaan kepimpinan pusat terhadap rakyat Sabah dalam menentukan hala tuju politik sendiri.
  • BN bersedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik bagi membentuk kerajaan stabil di Sabah demi pembangunan negeri.


Beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Pertahanan ketika BN menerajui kerajaan suatu ketika dahulu berkata parti itu juga memainkan peranan besar dalam mempertahankan kedaulatan Sabah, termasuk semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

"Sekarang bila dekat pilihan raya, mereka kata Sabah for Sabahan... Siapa yang berunding dengan orang-orang Sulu apabila Tanduo (di Lahad Datu) menjadi ground zero, ketika itu semua pekerja Felda Sahabat keluar, siapa yang mengeluarkan arahan supaya menggunakan aset-aset tentera udara untuk melakukan pengepungan?

"Kita tetap orang Malaysia yang taat setia kepada negara kita, tidak kira negeri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung," katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Wanita Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad; Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid turut menegaskan BN Sabah diberi kuasa autonomi bagi membuktikan keyakinan kepimpinan pusat terhadap keupayaan rakyat negeri itu untuk menentukan hala tuju politik mereka.

"Kenapa UMNO Sabah dan BN Sabah diberikan kuasa autonomi? Kerana kita tidak anggap UMNO Sabah dan BN Sabah sebagai parti Semenanjung. Ini parti rakyat Sabah. Orang Sabahlah yang meminta UMNO datang ke Sabah untuk membantu rakyat negeri Sabah," katanya.

Beliau menzahirkan keyakinan BN mampu membentuk kerajaan yang stabil di Sabah melalui kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang berkongsi hasrat sama untuk memajukan negeri itu.

"Insya-Allah, BN sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan supaya kita sama-sama berkongsi kuasa dan insya-Allah, di bawah BN, kami berjanji untuk satu penggal pertama, kami akan laksanakan semua aku janji yang tercatat dalam manifesto yang akan dilancarkan insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA


#PRN Sabah #rakyat Sabah #Barisan Nasional BN #Ahmad Zahid Hamidi