"Kita tidak kisah ambil nama tapi jangan la cakap bohong."

Peringatan tersebut diberikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kepada penyandang jawatan itu, Datuk Seri Shafie Apdal merujuk pada isu pemberian tanah oleh kerajaan.

Ketika berkempen untuk calon parti Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri DUN N.44 Tulid, Flovia Ng dan N.45 Sook, Datuk Ellron Angin di Kampung Biah, Keningau pada Ahad, Musa sifatkan tindakan Shafie saling tidak ubah seperti kata pepatah "lembu punya susu, sapi dapat nama".

Menurut Musa usaha pemberian tanah kepada rakyat Sabah telah dimulakan beliau sebelum pentadbiran kerajaan negeri berubah pada 2018.

"Kita telah usahakan semua itu melalui Geran Komunal atau Geran Komuniti dan dimulakan pada awal 2016.

"Kita juga telah meminta geran dari kerajaan Pusat ketika itu bagi tujuan pengukuran tanah. Semua itu hasil usaha yang telah kita mulakan untuk rakyat Sabah, yang dia ambil nama sekarang pasal apa?" soal Musa.

Menurut Musa, banyak pembangunan telah dibuat semasa pentadbirannya termasuk membina bangunaan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah PPNS.

"Kita bangunkan PPNS, kita buat jalan raya. Apa dia buat? Dia potong riben, kami yang cari duit,"tegas Musa lagi.