23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
POLITIK

PRN Sabah: ESSCOM perhebat kawalan keselamatan

Bernama 04/10/2025 | 14:57 MYT
Pihak berkuasa itu yang merangkumi PPDRM, ATM dan APMM bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat ketika proses berkenaan dilaksanakan. - Gambar fail
TAWAU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperhebat kawalan keselamatan di kawasan timur negeri itu bagi melancarkan proses pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pihak berkuasa itu yang merangkumi Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat ketika proses berkenaan dilaksanakan.

"Apatah lagi, buat masa ini di kawasan Selatan Filipina juga akan mengadakan pilihan raya, jadi mungkin pertembungan dua pilihan raya termasuk di Sabah itu yang kita harus sentiasa berjaga-jaga dan memberikan tumpuan yang sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan delegasi melawat Pos Keselamatan Pasukan Gerakan Am Inderasabah di sini hari ini.

Menjadi tanggungjawab pihaknya memastikan rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi dalam keadaan damai, sejahtera dan selamat tanpa keraguan.

"Kita tidak mahu ada unsur negatif ataupun ancaman dan sebagainya ketika proses-proses ini berlangsung, manakala semua anggota dan pegawai akan diatur gerak ke lokasi tertentu sebaik pembubaran Dewan Undangan Negeri dilakukan," katanya.

Sementara itu, beliau mahu semua pihak menggunakan istilah Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone sebagai merujuk kepada kawasan pantai timur Sabah.

"Saya ingin mengambil kesempatan kepada rakan-rakan media dan juga pengkaji-pengkaji di mana-mana pun mereka berada bahawa mereka selalu merujuk kawasan pantai timur di kawasan ini, dan saya ingin betulkan supaya penggunaan pantai timur itu kita ganti dengan Sabah Timur.

"Sabah Timur ini merangkumi tiga domain, iaitu domain darat, laut dan udara, jadi (istilah) itu yang sebaik-baiknya," katanya.

Zon Selamat Sabah Timur merangkumi 10 daerah, iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

-- BERNAMA

#PRN Sabah #Sabah Memilih #ESSCom #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia