[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
POLITIK

PRN Sabah: Gagasan Rakyat Sindumin tegas mahu kerusi milik GRS, Yusof sebagai calon

Hasimi Muhamad 14/10/2025 | 00:45 MYT
Alfred berkata, mesyuarat itu juga secara sebulat suara menyokong Yusof sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Sindumin - Foto Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin menegaskan pendirian bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Sindumin mesti kekal ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat bahagian PGRS Sindumin sebulat suara menegaskan kerusi DUN Sindumin mesti kekal ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.
  • Datuk Yusof Yacob disokong sebagai calon GRS berdasarkan rekod kepimpinan dan komitmen beliau terhadap pembangunan serta kesejahteraan komuniti Sindumin.
  • PGRS Sindumin menolak sebarang percubaan membawa calon luar dan menegaskan kesatuan akar umbi dalam mempertahankan kerusi tersebut tanpa kompromi.


Setiausaha PGRS Bahagian Sindumin, Alfred Daniel @ Stanley, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat bahagian itu pada Isnin melibatkan pemimpin, ahli jawatankuasa serta mendapat sokongan seluruh ahli PGRS Sindumin.

"Kami berdiri teguh menyatakan bahawa kerusi DUN Sindumin mesti ditandingi oleh GRS tanpa sebarang kompromi atau campur tangan luar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alfred berkata, mesyuarat itu juga secara sebulat suara menyokong Datuk Yusof Yacob sebagai calon GRS bagi kerusi tersebut, berdasarkan rekod cemerlang dan komitmen beliau terhadap kepentingan rakyat setempat.

Jelas beliau, mereka yakin Yusof adalah calon terbaik untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di kawasan berkenaan.

"Yusof telah membuktikan kepimpinan yang berjiwa rakyat dan sentiasa mendahulukan komuniti Sindumin," tambahnya.

Menurut Alfred lagi, akar umbi Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin menolak sebarang percubaan membawa calon luar atau parti lain untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin kekal bersatu, tidak goyah serta tidak akan berundur dalam perjuangan mempertahankan hak GRS di kerusi berkenaan.

"Sindumin bukan medan percubaan. Akar umbi sudah lama bersama GRS dan kami akan pertahankan kerusi ini habis-habisan," katanya.

Untuk rekod, pada PRN16, Yusof yang bertanding atas tiket Parti Warisan (Warisan) menang dengan undi 5,415 selepas menewaskan lima lagi pencabarnya.





#PRN Sabah #Kerusi DUN Sindumin #Politik Sabah #Kerusi GRS