PRN Sabah: Gelombang baharu adalah gelombang kekecewaan - Nizam

GRS katanya tidak memerlukan mereka yang hanya setia ketika ada jawatan dan berpaling tadah apabila kemahuan peribadi mereka tidak dituruti.
KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah yang beralih menyertai Parti Warisan sejak beberapa minggu lalu hingga didakwa mencetuskan gelombang baharu hanyalah kebangkitan gelombang kumpulan yang kecewa.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kumpulan individu itu adalah sekumpulan kecil yang ingin menjarah jawatan dan harta bersama GRS.
Jelas penyandang kerusi DUN Apas itu lagi, beliau dimaklumkan ada di antara mereka didakwa secara peribadi telah meminta untuk menjadi calon, selain mengugut akan keluar parti jika tidak diberikan peluang.
"Rakyat Sabah sudah tahu siapa mereka, para individu ini menyertai Warisan bukan kerana perjuangan, tetapi kehausan jawatan.
"Semasa bersama GRS, mereka senyap dan menumpang hasil kerja orang lain, apabila tidak lagi diberi kedudukan, mereka mula menukar haluan dan melaungkan kononnya perjuangan asal untuk rakyat Sabah.
"Inilah politik lama yang rakyat sudah muak, politik tamak dan dendam peribadi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Nizam, GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak akan tunduk kepada politik ugutan dan perebutan habuan.
GRS katanya tidak memerlukan mereka yang hanya setia ketika ada jawatan dan berpaling tadah apabila kemahuan peribadi mereka tidak dituruti.
"Jika inilah yang mahu disebut sebagai gelombang baharu Warisan, maka ia sebenarnya gelombang kecewa, gelombang tertolak, dan gelombang manusia yang sudah hilang arah," katanya.
Pada Jumaat, Presiden Warisan dalam sidang media mengumumkan penyertaan bekas Timbalan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas, Datuk Harun Ismail; Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pantai Manis, Amri Abu Bakar, dan Ketua LDP Bahagian Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong, menyertai Parti Warisan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

