PRN Sabah: George Hiew kekal yakin, khidmat tujuh tahun jadi sandaran menang di Karamunting

George, yang sebelum ini memenangi kerusi DUN Karamunting atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk dua penggal, bertindak menyertai Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) pada Mac 2023. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Datuk George Hiew, yakin sokongan pengundi terhadapnya kekal kukuh meskipun akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kali ini.
Ringkasan AI
- Datuk George Hiew yakin sokongan pengundi kekal kukuh walaupun bertanding atas tiket PKR pada PRN Sabah ke-17, selepas menyertai Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) pada Mac 2023.
- Beliau menegaskan bahawa peralihan parti bukan isu besar dan merupakan strategi politik untuk memastikan kemenangan serta kesinambungan khidmat kepada rakyat.
- Pengalaman dua penggal sebagai wakil rakyat memberi kelebihan kepada George dalam memahami keperluan kawasan serta mengurus pelbagai isu tempatan dengan lebih berkesan.
“Saya sering turun padang bertemu masyarakat dan mendengar masalah mereka secara langsung.
“Mereka kenal siapa yang bekerja untuk mereka. Sebab itu saya yakin mereka masih percaya kepada saya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Sandakan, pada Selasa.
Tegasnya, peralihan parti bukan isu besar, sebaliknya strategi politik untuk memastikan kemenangan dan kesinambungan khidmat kepada rakyat.
“Dalam politik, bagi saya tidak ada istilah ‘dipinjamkan parti’.
“Yang penting adalah kita mahu menang dan terus berkhidmat kepada rakyat. Fokus kita jelas dan rakyat tahu siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka,” tambahnya.
Beliau berkata, pengalaman dua penggal sebagai wakil rakyat memberi kelebihan dalam memahami keperluan kawasan dan mengurus pelbagai isu tempatan dengan lebih berkesan.
“Fokus saya tetap sama, memastikan pembangunan, kebajikan dan keperluan asas rakyat terus dipenuhi.
“Itu matlamat utama saya sejak mula berkhidmat,” ujarnya lagi.
Pada Ahad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, dua Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Jamawi Jaafar dan George masing-masing akan bertanding atas tiket PH di kerusi DUN Melalap serta Karamunting pada PRN Sabah ke-17.
Sementara itu, Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor, pada Isnin berkata, keputusan itu merupakan hak demokratik yang harus dihormati.
Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata setiap individu bebas memilih parti yang ingin disertai dan perkara itu mencerminkan amalan demokrasi yang sihat di negeri berkenaan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

