POLITIK

PRN Sabah: Hajiji sahkan Rubin Balang calon GRS di Kemabong

Hasimi Muhamad 08/11/2025 | 10:43 MYT
Hajiji melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong hari ini.
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengesahkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang akan mempertahan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, akan datang.


Ringkasan AI
  • Datuk Rubin Balang akan mempertahankan kerusi DUN Kemabong pada PRN Sabah yang dijadualkan pada 29 November ini, seperti yang disahkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
  • Rubin, dijangka menang sekali lagi berdasarkan sokongan kukuh pengundi di Kemabong setelah menang dengan majoriti 1,012 undi pada PRN16.
  • Kerajaan Negeri di bawah GRS telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi SFI untuk rakyat, serta meningkatkan jumlah penerima bantuan kebajikan kepada 70,000 orang daripada 30,000 sebelum ini.


Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, Rubin diletakkan sebagai calon GRS bagi kerusi berkenaan pada PRN17, yang dijadual berlangsung 29 November depan.

"Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu daripada para pengundi di Kemabong, Insya-Allah Datuk Rubin Balang akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Hajiji turut melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong.

Pada PRN16 lalu, Rubin yang bertanding atas tiket Bebas menang dengan majoriti 1,012 undi menewaskan lima lagi pencabarnya iaitu Lucas Umbul (Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu); Raime Unggi (Barisan Nasional); Juster Peter (Parti Liberal Demokratik); Tay Jin Kiong (Parti Cinta Sabah); serta Rainus Sagulau (Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu).

Pemimpin politik veteran itu ketika ini menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Pengesahan daripada Hajiji itu, dibuat selepas desas-desus bahawa kerusi berkenaan akan 'bertukar milik', dengan dakwaan bahawa DAP Sabah sedang mengintai DUN tersebut.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan sama memaklumkan Kerajaan Negeri telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industry (SFI) untuk dijadikan rizab kampung.

Hajiji menambah, di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga telah diperuntukkkan dan diberikan kepada rakyat.

"Kita mahu rakyat hidup dengan selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya ialah kemakmuran rakyat, sebab itu kita mengutamakan kebajikan rakyat," katanya.

Menurut beliau, sebelum ini hanya sekitar 30,000 orang tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun di bawah Kerajaan Negeri sekarang, jumlah penerima telah meningkat kepada 70,000 orang.
#PRN Sabah #Hajiji Noor #Rubin Balang #Calon GRS