PRN Sabah: Jangan negeri kita perjuangkan, negara kita runtuhkan - Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kepentingan kerjasama kerajaan negeri dengan Kuala Lumpur sejajar peranan kerajaan Pusat. - Astro AWANI
BONGAWAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kepentingan kerjasama kerajaan negeri dengan Kuala Lumpur sejajar peranan kerajaan Persekutuan dalam pentadbiran negara.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu tidak bermakna hak dan kepentingan negeri diabaikan sekali gus tidak dipertahankan.
"Kita mesti mempertahankan kepentingan negara, jangan negeri kita perjuangkan (tetapi) negara kita runtuhkan yang mana kita jadi negara apa kita... Sebab itu saya percaya dengan pendekatan Kerjasama negeri dengan Persekutuan penting untuk kita maju.
"Itu merupakan sejarah politik dahulu, kita kena belajar daripada itu. Kita mahu negara kita Malaysia ini maju," katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan, di Dewan Serbaguna Bongawan pada Isnin.
Selain itu, Hajiji mendedahkan kira-kira setengah juta anak Sabah dibantu menerusi peruntukan pendidikan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu.
Katanya, jumlah yang menerima manfaat itu adalah yang terbesar berbanding kerajaan sebelum ini berikutan kejayaan pentadbiran dan meningkatkan hasil negeri.
"Dalam bidang pendidikan sebanyak RM1.3 bilion dibelanjakan dalam tempoh empat tahun setengah ini, 500,000 anak Sabah kita bantu dalam tempoh itu. Biasiswa dulu hanya RM40 hingga RM50 juta setahun, tetapi sekarang kita luluskan RM145 juta.
"Peningkatan ini disebabkan kita berjaya mentadbir negeri dan meningkatkan hasil. Dulu kutipan hasil hanya RM4 hingga RM5 bilion saja setahun, tetapi sekarang mencecah RM7.5 bilion. Ini yang kita kembalikan kepada rakyat," katanya.
Hajiji turut membidas tuduhan pembangkang yang mengatakan kerajaan hanya membuat pengumuman, tetapi hasilnya tidak dapat dirasai.
"Mereka (pembangkang) cakap berapi-api macam jual ubat, mundar-mandir, pusingpusing, tapi ubat itu tidak boleh sembuhkan sakit rakyat yang perlukan pembelaan
kerajaan," katanya.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

